KLIA2
Anthony Loke Siew Fook melihat mendapan di ruang menunggu e-hailing ketika mengadakan lawatan mengejut di KLIA2, hari ini. (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook meminta pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menangani beberapa kelemahan di terminal pengangkutan udara tersebut.

Beliau menemukan kelemahan tersebut ketika melakukan lawatan mengejuti di KLIA2 sebelum merasmikan majlis pengumuman tambang rendah tetap di RedQ Air Asia, Sepang, pagi tadi.

Antara kelemahan yang ditegur Anthony adalah ruang menunggu e-hailing.

“Salah satu satunya ialah lorong jalan yang tidak rata akibat mendapan tanah yang boleh membahayakan pengguna. Pihak pengurusan telah melantik kontaktor dan kerja menaik taraf akan dijalankan pada hujung bulan Januari.

“Sistem pencahayaan juga akan ditambah baik supaya keadaan pada waktu malam lebih terang,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau memberitahu, lawatan mengejut itu dilakukan bagi melihat sendiri keadaan di hab pengangkutan awam di Tingkat 1, KLIA2 selepas mendapat maklum balas daripada orang ramai.

“Saya mengajak semua pihak berkepentingan untuk sentiasa berusaha menambah baik kemudahan dan menceriakan pengalaman pengguna di lapangan terbang kita,” jelasnya. – MalaysiaGazette