Bomba memadamkan kebakaran bangunan tiga tingkat di Hentian Kajang pagi tadi.- Gambar ihsan Bomba

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki warga asing yang membahayakan diri dengan memegang pisau dalam bangunan terbakar di Hentian Kajang dekat sini hari ini mengejutkan orang ramai.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pasukan berjaya memujuk lelaki berkenaan seterusnya menyelamatkannya.

“Pemeriksaan di dalam bangunan itu mendapati seorang lelaki asing warga Nepal berusia 20-an berdiri di dalam dengan memegang pisau dan mengancam untuk membunuh diri.

“Pasukan bomba berjaya memujuk mangsa yang dilihat dalam keadaan tertekan dan mengeluarkan mangsa dari bangunan terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, kebakaran juga berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya olah anggota bomba.

“Mangsa yang diselamatkan anggota telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kebakaran,” tegasnya.

Sebelum itu, menurut Norazam, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden kebakaran bangunan berkenaan pada pukul 8.49 pagi.

“Bertindak atas maklumat kecemasan itu sepasukan anggota terdiri daripada sembilan orag termasuk sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Pemerhatian di lokasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah bangunan rumah kedai tiga tingkat di Hentian Kajang yang mana 30 peratus terbakar di tingkat dua bangunan itu,” katanya.- MalaysiaGazette