Yu Yang (kiri) dan rakannya Jun Xian (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik, mencederakan dan mengugut seorang lelaki minggu lalu.

Tertuduh, Tan Jun Xian, 32, dan Wong Yu Yang, 26, yang bekerja sebagai jurugegas sebuah syarikat pengurusan kewangan itu membuat pengakuan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang lelaki berusia 31 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kelasah, Seberang Jaya di sini, jam 3 petang pada 20 Disember lalu.

Kedua-dua tertuduh dibenarkan ikat jamin.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Jun Xian dan Yu Yang secara bersama didakwa menculik mangsa sama di tempat dan pada waktu sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun dan hendaklah dikenekan denda.

Sementara itu, Yu Yang turut didakwa dengan pertuduhan mendatangkan ketakutan kepada mangsa sama bagi tujuan pemerasan dengan ancaman mencederakannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 4 petang pada hari sama di Persiaran Sembilang, Seberang Jaya.

Yu Yang didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Pang Chuin Keat.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Jun Xian diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi dua pertuduhan yang dihadapinya, manakala Yu Yang pula RM15,000 bagi tiga pertuduhan.

Kes akan disebut semula 28 Februari depan. – MalaysiaGazette