Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan samannya terhadap bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa dengan mendakwanya atas pertuduhan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Yudistra Darma Dorai yang mewakili Najib ketika dihubungi hari ini berkata notis rayuan itu difailkan pada 22 Dis lepas.

Peguam Mervyn Lai, mewakili Thomas yang mengesahkan perkara itu berkata, Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh lanjut mengenai perkara berkenaan.

Pada 25 Nov lepas, Hakim Datuk Ahmad Bache membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman berkenaan selepas mendapati tuntutan saman Najib adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Thomas, melalui notis permohonan untuk membatalkan saman itu yang difailkan pada 18 Nov 2021, antara lain mendakwa jika saman Najib diterus dan dibicarakan, ia akan menyebabkan kes jenayah yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi tergendala.

Najib, yang memfailkan saman itu pada 22 Okt 2021, mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia selari dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Najib, 69, mendakwa beliau telah dituduh secara salah di mahkamah dalam kes yang membabitkan 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Beliau memohon satu deklarasi bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam dan ganti rugi RM1.9 juta termasuk fi rundingan untuk pasukan audit bagi menyemak dokumentasi dalam penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.- BERNAMA