BANDAR BARU BANGI – Pendeposit Tabung Haji (TH) tidak perlu lagi mempersoal atau ‘menyucikan’ hibah yang diterima susulan isu berkaitan status halal pembayaran berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mustakim Mohamad berkata, perkara itu telah diperjelaskan menerusi kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini, selain penjelasan yang dikongsikan TH menerusi media sosial.
Menurut beliau, pendeposit yang menerima hibah tidak bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat berhubung pembayaran tersebut.
“Pendeposit yang menerima tidak bertanggungjawab ke atas apa yang diberikan. Tanggungjawab terletak kepada mereka yang membuat keputusan,” katanya pada Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan persoalan timbul mengenai status hibah kepada pendeposit dalam konteks isu pengurusan kewangan TH yang didedahkan menerusi laporan RCI.
Sementara itu, Mustakim berkata, kerajaan meneruskan jaminan terhadap komitmen TH untuk tempoh 10 tahun akan datang bagi memastikan institusi itu terus kukuh dan berupaya memenuhi tanggungjawab kepada pendeposit.
Jelasnya, komitmen kerajaan itu terbahagi kepada dua tempoh, iaitu tujuh tahun dan 10 tahun.
“Tempoh jaminan tujuh tahun matang pada Mei lalu dan kemudiannya dilanjutkan untuk tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata, jaminan kerajaan bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya perkara paling penting ialah pihak yang menyokong nilai serta obligasi tersebut.
“Duit ringgit kita pun atas kertas. Tetapi yang paling penting siapa yang back atau siapa yang mendukung nilai tersebut.
“Nilai ini didukung oleh kerajaan,” katanya.
Beliau turut merujuk kenyataan Menteri Kewangan II bahawa kerajaan tidak akan mengorbankan atau gagal memenuhi obligasi kerajaan, termasuk berkaitan komitmen terhadap institusi yang berada di bawah jaminan kerajaan.
“Komitmen berkenaan turut dinyatakan dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan.
“Jadi saya rasa tidak ada isu di sini. Ia disokong oleh kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















