Nik Naizi Husin

KUANTAN – Pengerusi Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini malam tadi.

Allahyarham yang juga bekas wartawan dan jurugambar The Star berusia 63 tahun meninggal dunia pada jam 11.40.

Beliau meninggalkan seorang balu, Datin Salma Abdul Samad, 57 empat anak serta enam cucu.

Nik Naizi bertugas di Pahang pada Januari 1995 setelah berkhidmat bersama akhbar The Star pada 1 April 1982 dan telah bersara wajib pada 4 September 2019.

Selepas itu, beliau menyambung kontraknya di akhbar sama sehingga Mac 2020 dan berkhidmat denagn akhbar Fikrah Pahang.

Anak kelahiran Kelantan itu gemar melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan menyelam bersama rakan-rakan dan menamatkan telah menamatkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan bersama Open Universitu Malaysia.

Terdahulu Nik Naizi dimasukkan ke HTAA pada 2 Disember lalu buat kali pertama disebabkan mengalami serangan jantung.

Manakala pada Ahad lalu, Allahyarham telah dimasukkan ke Coronary Care Unit (CCU) pada kali kedua di Jabatan Kardiologi HTAA selepas mengalami sakit dada sebelum ditidurkan berikutan kondisi yang semakin kritikal.

Pada 25 Disember lalu, Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli bersama Raja Permaisuri Agong Raja Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah  menziarahi beliau di HTAA.

Jenazah Allahyarham yang disolatkan di Masjid Makmur Indera Mahkota 2, Kuantan di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Jalan Haji Ahmad, Kuantan pagi ini. – MalaysiaGazette