Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kiri) bersalaman dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (kanan) pada Majlis Penghargaan Perkhidmatan Operasi Benteng 2020-2022 sempena Pembubaran National Task Force (NTF) di Kementerian Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Rampasan rokok dan minuman keras bernilai RM428,962,528 direkodkan sebagai barang rampasan tertinggi sepanjang pelaksanaan Operasi Benteng oleh pasukan National Task Force (NTF).

Selain itu, kejayaan itu turut melibatkan tangkapan seramai 7,442 individu terdiri daripada tekong, Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan penyeludup.

Malah sejak penubuhannya pada 6 Mei 2020 sehingga 26 Disember lalu – NTF turut berjaya merampas dadah bernilai RM245,292,351 sama ada yang cuba diseludup masuk atau keluar dari negara ini untuk dihantar ke negara ketiga.

Selain itu barang dan cecair berasaskan ketum bernilai RM26,139,935 serta lain-lain rampasan seperti bot dan kenderaan yang digunakan tekong dan penyeludup dalam aktiviti mereka adalah berjumlah lebih RM398 juta turut menyumbang kepada nilai rampasan keselruhannya yang berjumlah sebanyak RM1.1 bilion oleh pasukan NTF dalam Op Benteng.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Affendi Buang berkata, kejayaan itu dicapai hasil kebijaksanaam barisan kepimpinan serta komitmen tinggi oleh segenap lapisan warga yang mewakili 18 agensi dalam NTF.

“Sejujurnya ia bukanlah sesuatu tugas mudah kerana setiap agensi mempunyai keutamaan strategik tersendiri selain amalan tugas yang berbeza-beza termasuklah kekangan sumber manusia serta peralatan bersesuaian untuk ditugaskan di lapangan.

“Namun kejayaan penyatuan semua 18 agensi dalam NTF memperlihatkan kepada rakyat bahawa NTF begitu serius dalam komited dalam mengekang elemen pencerobohan kemasukan PATI dan penyeludupan ke dalam negara semasa pandemik Covid-19 melanda negara,” katanya selepas majlis penghargaan sempena Pembubaran NTF di sini hari ini.

Terdahulu Affendi mengumumkan pembubaran NTF secara rasmi di Wisma Pertahanan di sini dengan dihadiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua-Ketua Pengarah Agensi Keselamatan dan Penguatkuasaan yang terbabit dalam NTF.

Dalam pada itu Affendi menambah, konsistensi yang ditunjukkan NTF dalam aktiviti pengusiran, tangkapan dan rampasan melalui Op Benteng telah memberi kesan positif sehingga mewujudkan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi oleh rakyat

“Apa yang boleh saya katakan di sini adalah arahan untuk mewujudkan NTF merupakan satu tindakan yang tepat oleh kerajaan dalam memperkasakan kawalan sempadan darat dam maritim negara,” tegasnya.- MalaysiaGazette