Zharmien Ashraf Ismail. Foto KDA FC.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain sayap Sarawak United FC, Zharmien Ashraf Ismail menyifatkan pengalaman beraksi kali pertama di pentas Liga Super musim ini sangat berharga untuknya meneruskan misi lebih mencabar bersama Kedah Darul Aman FC, musim depan.

Zharmien sebelum ini yang pernah beraksi bersama skuad Piala Belia Kedah musim 2020 mengakui teruja dapat kembali berbakti di Kedah bersama skuad senior buat pertama kalinya selain positif dia akan menimba lebih banyak pengalaman berbeza selepas ini.

Bagi pemain berusia 20 tahun ini, terlalu banyak yang telah dipelajari selama satu musim bersama Sarawak United dengan pemain-pemain senior lain yang turut sama membantunya menjadi pemain yang lebih matang.

Dan dengan perubahan format Liga Malaysia 2023, Zharmien sedar perjalanan kariernya tidak akan mudah untuk merebut tempat sekaligus terus mencipta nama pada musim depan.

“Pertamanya saya rasa bangga dan teruja apabila dapat bermain di Liga Super bersama Kedah dan saya nak membuktikan saya mampu buat terbaik.

“Yang penting saya perlu belajar untuk mencari keserasian dan kesefahaman bersama barisan kejurulatihan juga pemain-pemain lain sebab saya pun muda lagi.

“Masa saya di Sarawak, suasana memang berbeza sebab sebelum ini saya pernah bersama skuad Piala Presiden Sarawak, jadi apabila kali pertama berentap di Liga Super, memang pengalaman dia lain dan tahap saingan juga lebih tinggi.

“Selepas ini sudah tentu akan lagi mencabar dengan penstrukturan liga, dan dengan usia saya sekarang yang masih muda, ia tentu tidak akan mudah”, jelasnya.

Mengenali pengendali, Nafuzi Zain sebagai seorang jurulatih yang gemar mengembangkan bakat pemain muda, Zharmien percaya kehadirannya ke Kedah musim ini adalah tepat untuk berusaha menambat hati jurulatihnya itu bagi menembusi kesebelasan utama.

“Apa yang saya nampak, Nafuzi memang seorang jurulatih yang tidak pandang rendah bakat pemain muda dan sudah tentu saya akan buktikan kepada beliau yang saya layak berada dalam kesebelasan utama.

“Yang penting saya kena jaga diri saya sebaik mungkin untuk tidak cedera sepanjang musim depan dan InsyaAllah kami semua akan cuba bantu untuk meletakkan Kedah di kedudukan terbaik musim depan”, tambahnya. – MalaysiaGazette