Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar terpaksa mengambil air Sungai Wias yang berbau hanyir selain terdapat tompokan minyak sebagai sumber aktiviti harian ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Kuala Wias, Gua Musang, Kelantan. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 22 DISEMBER 2022.

GUA MUSANG – “Pencemaran sungai bukan bawah tanggungjawab kami, lapor sendiri ke JAS,”.

Maklum balas itu diterima Jimi Angah setelah dia membuat aduan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengenai pencemaran Sungai Wias dan Sungai Menintei yang mengancam keselamatan penduduk.

“Kita sebenarnya dah tak larat mahu buat laporan, bukan dua tiga kali kita buat laporan, tapi dah berkali-kali laporan dibuat. Paling menyedihkan, mereka memang tak ambil tindakan atas segala aduan yang kita mengadu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Jimi Angah

Jimi yang merupakan Pengerusi Wilayah Tanah Adat Kampung Kuala Wias dan Kampung Wok berkata, JAKOA umpama bapa tiri yang dayus apabila sanggup membenarkan golongan isteri serta anak-anak Orang Asli ditindas dengan ‘penjajah’ asing.

“Bila kita sebagai anak Orang Asli mengadu kepada ayah (JAKOA) kita, tapi ayah kita tidak mahu ambil peduli, apa lagi boleh buat.

“JAKOA hanya berdiam diri apabila ada pihak kontraktor masuk ke kampung kami untuk teruskan projek pembalakan. Sudahlah menceroboh tanah adat kami tanpa bertemu Tok Batin serta penduduk kampung, malah mencabuli kawasan keramat kami di Kolam Jelawar yang menjadi tempat pemujaan berkurun lamanya,” ujarnya.

Jelas beliau, aktiviti pembalakan itu menjadi salah satu punca sungai-sungai utama di Kampung Kuala Wias dan Kampung Wok tercemar disebabkan penggondolan hutan yang tidak terkawal.

Kerakusan pembalakan yang tidak terkawal sehingga menyebabkan gondolan bukit di sekitar kawasan Kampung Kuala Wuk.

Tinjauan MalaysiaGazette mengesahkan puncak di sekitar Kampung Wok tersebut telah gondol sepenuhnya tanpa sebatang pokok balak ditinggalkan dengan bau bahan kimia yang kuat di kawasan itu.

Nasib sama turut ditanggung penduduk Kampung Kuala Wias, Kilot Busu, 73, melahirkan rasa kesal dengan layanan JAKOA apabila aduan mengenai Sungai Wias yang menjadi sumber air utama tercemar tidak diendahkan.

Kilot Busu

“Saya beritahu JAKOA, sungai di kampung saya tercemar sampai air bertukar hitam. Malangnya, mereka suruh saya pergi buat laporan sendiri. Saya bodoh, sepatutnya mereka yang cerdik datang ke sini,” ujarnya dalam nada sebak.

Lebih mengecewakan, rintihannya itu mendapat ‘balasan’ apabila dianggap mengkritik pentadbiran JAKOA yang lemah.

Projek penyelenggaraan bekalan air JAKOA yang gagal membekalkan sumber air bersih kepada penduduk Kampung Kuala Wias.

“Kadang kita guna air boring, tapi masalahnya minyak diesel untuk hidupkan generator itu hanya mampu bertahan seminggu dua saja. Bila minyak habis, saya pergi mengadu dekat JAKOA minta stok tambahan.

“Mereka salah anggap. Mereka kata saya banyak komen. Saya bukan komen, saya hanya tanya dan merayu minta diesel saja. Akhirnya, elaun bulanan saya dipotong dari RM400 jadi RM250 sebab kononnya saya tak jaga enjin yang disediakan,” ulasnya.

Pemerhatian MalaysiaGazette mengesahkan Sungai Wias dipercayai tercemar apabila mengeluarkan bau yang hanyir dengan tompokan minyak dan warna yang kehitaman.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan Sungai Wias didakwa tercemar akibat aktiviti perlombongan emas, namun ia dinafikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.