Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memaklumkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Johari Abdul berkenaan kekosongan empat kerusi Parlimen.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, satu notis telah dihantar ke Johari kerana berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan melibatkan ahlinya yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menghantar notis kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebagai ahli parti Bersatu dengan menggunakan logo parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Melalui surat bertarikh 3 November 2022 daripada Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu telah mengesahkan bahawa keempat-empat ahli Dewan Rakyat tersebut adalah antara calon yang akan bertanding pada PRU-15 sebagai anggota Bersatu.

“Keahlian mereka dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah sebagai anggota parti Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keempat-empat Ahli Parlimen berkenaan adalah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Media hari ini melaporkan Johari telah menerima notis pemakluman daripada Bersatu mengenai status empat Ahli Parlimennya di Sabah yang keluar parti.

Ronald berkata, tindakan empat Ahli Parlimen terbabit duduk di blok kerajaan pada sidang Parlimen, 19 Disember lalu dan tidak menyokong Bersatu adalah tindakan ‘crossing the floor’ dan ia melanggar janji pilihan raya kepada pengundi.

“Akibat daripada itu, keahlian mereka sebagai anggota parti Bersatu telah gugur mengikut perlembagaan parti dan perkara ini telah dimaklumkan melalui surat bertarikh 21 Disember 2022.

“Justeru, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli Dewan Rakyat itu hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan,” kata Ahli Parlimen Beluran.

Pada 10 Disember lalu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan semua pimpinan tinggi Bersatu Sabah keluar parti, termasuk empat Ahli Parlimen itu.

Hajiji berkata, keputusan kepimpinan Bersatu Sabah untuk meninggalkan parti adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.

Jelasnya, di peringkat persekutuan, Bersatu adalah pembangkang, manakala GRS telah berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette