Mohd Khalid Harun

KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa kerajaan menangguhkan kemasukan pelancong dari China disebabkan lonjakan kes harian Covid-19 di negara tersebut.

Presidennya, Mohd Khalid Harun berkata, peningkatan ketara kes Covid-19 di negara tersebut meningkatkan lagi potensi varian baharu yang menjadi kegusaran rakyat Malaysia khususnya kepada pemain industri pelancongan.

“Trauma yang dihadapi oleh pemain industri pelancongan akibat Covid-19 masih belum selesai.

“Banyak agensi pelancongan serta hotel telah ditutup sepenuhnya akibat Covid-19 dan mengakibatkan kerugian berbilion ringgit,’ katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Khalid, MATA sebagai pemain industri amat terkesan dan masih dalam keadaan pemulihan dan ia tidak mahu perkara seumpama itu berulang.

Tambah beliau, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif bagi menangguhkan kemasukan pelancong China sehingga kes harian di negara itu reda.

Katanya, banyak negara telah memperketatkan kemasukan pelancong dan ahli perniagaan China bag menyekat penularan Covid-19.

Jelasnya, bagi pemain industri pelancongan Malaysia, mereka perlu mengalihkan perniagaan dengan melihat pelancong dari Timur Tengah dan Eropah buat masa ini. – MalaysiaGazette