JOHOR BAHRU – Polis mendapati kematian kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun yang disyaki didera di Senggarang, Batu Pahat akibat dipukul dengan objek keras di bahagian kepalanya.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, perkara itu disahkan doktor pakar yang menjalankan bedah siasat terhadap mangsa di Hospital Sultan Ismail (HSI), semalam juga mendapati hampir keseluruhan bahagian tubuh mangsa mengalami kecederaan dengan kesan calar dan gigitan.

“Setakat ini, kita telah pun memanggil 10 individu daripada ahli keluarga dan lain-lain individu berkenaan dan dalam masa terdekat ini lebih ramai individu akan dipanggil lagi untuk membantu sisatan.

“Lima suspek yang telah polis tahan yang mana tempoh tahanan reman terhadap mereka akan berakhir Sabtu ini dan akan disambung sehingga siasatan selesai,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa dan Siswi (Suksis) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia selepas tiga hari dirujuk ke HSI akibat pengsan di kediaman keluarganya dekat Senggarang, Batu Pahat.

Berikutan itu, polis menahan lima suspek termasuk kakak mangsa dan suami. Selain itu polis turut menahan tiga rakan kepada wanita berkenaan.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-MalaysiaGazette