Nik Nazmi ketika menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir. - Foto Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim

KUALA LUMPUR – Projek Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Kelantan bernilai RM456 juta siap sepenuhnya pada 20 April tahun depan.

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, ketika ini Projek Pembangunan Lembangan Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan telah mencapai kemajuan 87.74 peratus.

Manakala PLSB Sungai Golok fasa satu akan siap sepenuhnya pada 13 Ogos 2024.

Nik Nazmi berkata, fasa kedua projek tebatan banjir di Sungai Golok kini berada di peringkat tender sehingga 16 Januari tahun depan.

“Perlaksanaan kerja fizikal akan disegerakan selepas penilaian tender selesai.

“Manakala Fasa 3 akan dilaksanakan melalui peruntukan off budget,” katanya dalam kenyataan.

Anggaran kos keseluruhan bagi pelaksanaan Projek PLSB Sungai Golok adalah sebanyak RM2.156 bilion.

Sementara itu Nik Nazmi berkata, luruan monsun yang memuncak pada 18 Disember 2022 merupakan taburan hujan paling tinggi iaitu melebihi 430mm sehari di Kota Bharu.

“Susulan daripada itu, sebanyak 65 kejadian banjir monsun direkodkan dengan 44 kejadian di Kelantan dan 21 kejadian di Terengganu.

“Kedua-dua negeri merekodkan purata hujan yang melebihi purata hujan bulanan masing-masing.

“Bacaan hujan yang direkodkan di Stesen Kalabe, Besut, Terengganu dan Stesen Serdang, Gunong Barat Bachok, Bachok, Kelantan masingmasing bersamaan dengan 146 kala purata ulangan (Average Recurrence Interval/ARI) dan 132 ARI,” katanya.

Tambah beliau, lebih 550 sukarelawan dari kementerian serta agensi-agensi telah menyertai Program Gerak Kerja Pasca Banjir.

Sebanyak empat lokasi telah dipilih dan berjalan serentak iaitu di Sekolah Kebangsaan Bendang Pak Yong, Tumpat; Kampung Tok Deh dan Kampung Chap, Pasir Mas.

Manakala lokasi keempat adalah di Sekolah Kebangsaan Nangka,
Daerah Besut, Terengganu.

Kementerian turut menyumbangkan bantuan bernilai RM148,000.00 yang disumbangkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membantu mangsa yang terjejas.

Katanya, turut menjadi tumpuan adalah kelangsungan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan di negeri-negeri yang ditimpa musibah banjir.

Kementerian melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium (IWK) dan operator air membantu membekalkan lori tangki agihan untuk bekalan air bersih, menyediakan tangki statik di lokasi strategik.

Pihaknya turut membekalkan tandas bergerak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan melaksanakan perkhidmatan nyah enap cemar di beberapa PPS.

Manakala Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) juga turut menyalurkan sumbangan berupa keperluan harian, makanan dan minuman bagi membantu mangsa banjir yang terjejas serta kepada sukarelawan. – MalaysiaGazette