Temubual eksklusif bersama Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 15 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Semua kerajaan yang memerintah di negara ini disifatkan sebagai sama kerana tidak mahu mendengar nasihat dan pandangan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, semua pemimpin dan kerajaan yang mentadbir selepas beliau tidak bersikap terbuka.

Menurut Mahathir, sikap yang sama turut diambil oleh pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sikap kerajaan sama sahaja. Mereka hendak tentukan bahawa segala yang dilakukan masa mereka adalah hasil daripada pendekatan mereka.

“Mereka tidak mahu dikaitkan dengan nasihat, pandangan atau pun cara orang lain. Kita dapati di Malaysia kerajaan tidak terbuka. Mereka menentukan segalanya dari dalam.

“Jadi apa pandangan dari luar kurang diberi perhatian. Sebab itu walaupun saya ada cadangan tetapi tidak akan mempengaruhi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara ekslusif program Owh!MG dan dikongsi di semua platform media sosial Malaysia Gazette.

Mahathir berkata, kerajaan yang mengganti beliau tidak bersedia untuk menerima pandangan dan nasihat.

Sebaliknya menurut Mahathir, kerajaan terbabit mencipta pendekatan baharu supaya tidak dikaitkan dengannya.

“Bila dulu letak jawatan saya harap kerajaan yang akan menyusul kerajaan saya boleh guna saya untuk dapat maklumat atau pun apa sahaja pengalaman yang boleh digunakan.

“Tetapi saya dapati bahawa kerajaan yang mengantikan kerajaan saya tidak bersedia untuk menerima pandangan. Mereka mempunyai pendekatan sendiri. Sebab itu kalau pun saya nasihat saya cuba berjumpa tetapi mereka menolak.

“Menolak bukan sahaja pandangan saya tetapi juga cara-cara saya dan dicipta pendekatan baharu supaya tidak terkait dengan apa yang saya lalukan,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak boleh bersara daripada bekerja kerana tidak tergamak untuk menolak rakyat yang datang untuk memohon pandangan dan nasihat.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, dia hanya bersikap mementingkan diri jika bersara.

“Nak kata rehat, jaga cucu apa semua itu selfish. Kita tamak, kita fikir diri sendiri. Tak fikir masyarakat, bangsa. Itu saya tak tergamak hendak buat.

“Kalau kita ada kebolehan untuk memperbaiki keadaan. Kita hendak kata sorrylah? Walaupun saya boleh tolong, tapi saya tidak mahu tolong kerana saya hendak rehat. Itu tamak, pentingkan diri sendiri. Jadi saya tidak berupaya.

“Saya dilatih sebagai doktor. Doktor perlu utamakan pesakit bukan dirinya. Kalau panggil tengah malam pun dia pergi. Kalau bekerja sampai berjam-jam pun dia buat,” katanya.

Mahathir berkata, walaupun sudah tidak ada dalam kerajaan dan tidak menjadi wakil rakyat namum masih ramai datang untuk mendapatkan pandangan dan nasihat.

Katanya, beliau sedaya upaya akan menolong mereka yang datang meminta nasihat di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.