Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didakwa beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 20 SEPTEMBER 2018

SECARA kebiasaannya, jika seseorang hakim mempunyai sebarang kepentingan dalam kes yang didengarinya akan menarik diri dari mendengar kes  bagi memastikannya prosiding berjalan secara adil dan tidak dipengaruhi.

Pada peringkat awal kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, hakim pertama yang mendengar kes itu adalah Datuk Mohd Sofian Abd Razak.

Bagaimanapun, beliau telah menarik diri  kerana telah dikatakan mempunyai seorang abang yang juga ahli UMNO serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.

Mohd Soffian menarik diri kerana rata-rata berpandangan keadilan mungkin tidak dilihat berlaku.

Selain beliau, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh turut telah menarik diri daripada mendengar permohonan Najib untuk melantik Peguam Diraja Jonathan Laidlaw.

Ini kerana Wan Ahmad membuat deklarasi yang abangnya juga  merupakan ahli politik yang aktif dalam UMNO.

Tetapi apakah pendirian Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sekarang menjadi Hakim Mahkamah Rayuan yang telah memutuskan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib?

Tidakkah sejarah pekerjaan Mohd Nazlan sebagai ketua penasihat undang-undang kumpulan Maybank menjadi halangan untuk mendengar perbicaraan SRC?

Sebelum ini, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdulah yang mewakili Najib berkata, Mohd Nazlan sepatutnya menarik diri mendengar kes SRC berikutan dakwaan berhubung peranannya dalam pinjaman dana oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada Maybank bagi pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (Tanjong).

Bagi rekod, SRC adalah anak syarikat 1MDB.

Beliau menegaskan, Mohd Nazlan yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi sepatutnya mendedahkan jawatan terdahulunya pada 2012 iaitu selaku setiausaha syarikat dan ketua penasihat undang-undang kumpulan Maybank.

Mohd Nazlan, katanya, sepatutnya menarik diri kerana beliau akan menjadi saksi dalam perbicaraan kes 1MDB yang sedang berjalan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Muhammad Shafee berkata, jika pendakwaan memutuskan untuk tidak memanggil Mohd Nazlan sebagai saksi, pembelaan akan berbuat demikian kerana Mohd Nazlan telah meneliti segala proses bagi pinjaman selain memberikan pandangan apabila 1MDB gagal membayar pinjaman.

Apakah seorang hakim yang mempunyai kepentingan dalam urusan pinjaman 1MDB boleh memberi keterangan dalam kes itu (1MDB) walaupun sudah mendengar kes anak syarikatnya iaitu SRC?

Selain Mohd Nazlan, pendirian Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang tetap memutuskan kes Najib pada 23 Ogos lepas turut mencetuskan tanggapan negatif dalam kalangan masyarakat.

Pada 23 Ogos lepas, Najib memohon agar Tengku Maimum menarik diri daripada mendengar rayuannya berikutan dakwaan terdapat hantaran di Facebook yang dimuat naik oleh suaminya, Zamani Ibrahim pada 11 Mei 2018.

Hantaran itu antara lain menyebut tentang Najib yang telah ‘ditumbangkan’ pada PRU14.

Najib berkata, perkembangan baharu itu amat membimbangkan dengan mengambilkira fakta Zamani secara jelas mempunyai pandangan yang negatif terhadap kepimpinan beliau di negara ini sebagai perdana menteri.

Beliau juga berkata, Zamani sebagai suami Tengku Maimun yang mendengar rayuan itu mungkin mempengaruhi pemikiran Tengku Maimun terhadap tuduhan ke atasnya.

Najib menyatakan sifat hubungan suami isteri mereka berkemungkinan memberi kesan kepada Tengku Maimun tanpa disedari melalui sentimen-sentimen suaminya terhadapnya.

Bagaimanapun permohonan Najib telah ditolak oleh Tengku Maimun atas alasan tidak ada kaitan antara hantaran Facebook yang dimuat naik oleh suaminya dengan rayuan Najib kerana ia dimuat naik empat tahun lepas.

Panel lima hakim dipengerusikan Tengku Maimun kemudian menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mohd Nazlan pada 28 Julai 2020. – MalaysiaGazette