Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A.Anbalagan menunjukkan peralatan yang digunakan oleh suspek dalam menjalankan aktiviti kegiatan jenayah pada sidang media mengenai kejayaan anggota polis dalam menumpaskan ‘Geng Harrier Putih’ dalam sindiket curi kenderaan serta kejayaan menumpaskan suspek yang memiliki sepucuk pistol peluru hidup dan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 DISEMBER 2022.

SERDANG – Empat penagih dadah, termasuk seorang wanita warga China, ditahan polis dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini, pada Rabu lalu.

Mereka juga dadapi menjual dadah secara kecil-kecilan di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, polis menemui dadah dan sepucuk pistol revolver jenis Smith & Wesson bersama tujuh butir peluru hidup semasa serbuan dilakukan.

“Pistol dan peluru hidup itu ditemui di dalam poket seluar suspek pertama yang juga dalang kumpulan berkenaan manakala dadah seberat 33.55 gram (g) ditemui di atas meja dalam biliknya.

“Siasatan mendapati modus operandi yang dijalankan suspek adalah menjalankan perniagaan dadah di sekitar kawasan daerah Serdang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini, hari ini.

Menurut Anbalagan, hasil soal siasat ke atas suspek berusia 42 tahun yang berasal dari Selangor itu mengakui dia membeli pistol itu daripada salah seorang lelaki dari negara jiran dengan harga RM800 pada 2019.

Tambah beliau, suspek menyatakan ia membeli pistol berkenaan bertujuan untuk melindungi dirinya.

“Siasatan lanjut dan ujian balistik sedang dijalankan bagi mengenalpasti sekiranya senjata api berkenaan terbabit dalam sebarang kes jenayah berat lain sebelum ini membabitkan suspek itu,” jelasnya.

Katanya, semakan mendapati suspek memiliki pelbagai rekod kesalahan narkotik dan merupakan individu dikehendaki di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, Anbalagan berkata, semakan terhadap suspek kedua dan ketiga yang merupakan lelaki berusia 60 dan 32 tahun mendapati mereka mempunyai beberapa rekod kesalahan dadah.

“Manakala suspek keempat seorang wanita warga China berusia 27 tahun yang juga teman wanita suspek pertama didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dia akan dirujuk kepada tindakan Jabatan Imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Tambah beliau, kesemua suspek direman tujuh bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 309A (2) ADB 1952. – MalaysiaGazette