Hakimah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengajak umat Islam hadir beramai-ramai bermunajat dan mendoakan kesejahteraan serta keselamatan negara di Masjid Putra, Putrajaya petang esok.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, program itu yang akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula pukul 6.30 petang dan disiarkan secara langsung menerusi RTM.

“Susulan keputusan kerajaan membatalkan acara sambutan ambang tahun baharu 2023, JAKIM mengambil langkah alternatif menganjurkan program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023.

“Program ini akan dihadiri Perdana Menteri serta jemaah menteri beragama Islam dan bersama rakyat jelata bermunajat pada 31 Disember 2022 di Masjid Putra, Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hakimah berkata, Perdana Menteri juga akan menyampaikan amanat khas sempena tahun baharu 2023 pada majlis tersebut.

“JAKIM turut menjemput seluruh kaum muslimin dan muslimat untuk hadir beramai-ramai bermunajat dan mendoakan kesejahteraan dan keselamatan negara serta seluruh lapisan masyarakat agar sentiasa dirahmati Allah,” katanya. – MalaysiaGazette