KUALA LUMPUR – Mayat lelaki dalam keadaan tangan dan kaki diikat ditemui di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang menghala ke Bestari Jaya, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan itu daripada seorang lelaki pada jam lebih kurang 11.40 pagi.

“Bertindak atas maklumat itu sepasukan polis dari IPD Gombak telah bergegas ke tempat kejadian bersama pegawai penyiasat kes dan juga Pasukan Forensik PDRM dan Unit Anjing Pengesan (K9) membantu siasatan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, siasatan mendapati terdapat kesan kecederaan luka parah pada bahagian atas kepala mangsa dan tiada dokumen pengenalan diri mangsa ditemui.

Menurut Zainal Mohamed, mayat mangsa telah dirujuk ke Jabatan Siasatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Kolanthaivelu Raman di talian 03-61262222 / 019-2579232. – MalaysiaGazette