Harimau Malaya
Anwar Ibrahim

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan lawatan kerja rasmi pertamanya ke Johor hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun memulakan lawatan kerja dengan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene di sini pagi ini.

Beliau kemudian menghadiri makan tengahari diĀ  Restoran Murtabak Kampung Melayu Azo 96 di Kampung Melayu Majidee.

Selepas itu Anwar dikatakan akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Melayu Majidee sebelum kembali ke ibu negara.

Difahamkan, beliau pernah merasmikan pembukaan masjid itu pada 1989.

Sebelum itu, Anwar yang tiba di pekarangan istana pada pukul 9.30 pagi sempat melambai ke arah pengamal media.

Terdahulu, ketibaan beliau disambut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini pukul 9.55 pagi.

Sultan Ibrahim sebelum itu tiba di istana berkenaan pukul 9.34 pagi dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pula tiba 10 minit kemudian.

Kali terakhir Pengerusi PH itu berkunjung ke negeri ini pada November lalu ketika tempoh berkempen pada PRU-15.

Beliau yang juga Presiden PKR itu pernah mengadap Sultan Ibrahim di Kuala Lumpur tiga hari selepas menjadi Perdana Menteri Malaysia. – MalaysiaGazette