Ahmad Fahmi Fadzi

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital akan meminta agensi di bawahnya menyiasat dakwaan wujud kebocoran hampir 13 juta maklumat pengguna dari beberapa badan di negara ini.

Menterinya, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, jika dakwaan itu berasas, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Ini satu dakwaan kebocoran yang serius melibatkan jumlah data yang banyak. Saya akan minta CyberSecurity Malaysia, Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia siasat apakah benar berlaku kebocoran data melibatkan pihak-pihak berkenaan.

“(Saya juga akan mengarahkan agensi ini) mengambil tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook rasminya hari ini.

Terdahulu, pentadbir laman Facebook Pendakwah Teknologi mendedahkan hampir 13 juta maklumat pengguna dari Maybank, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Astro telah bocor.

Mengikut hantaran di Forum Breach di bawah sub tajuk 13 juta pengguna bank bocor pada 25 Disember lalu dikatakan kira-kira 3.5 juta maklumat pengguna Astro bocor disusuli dengan 1.8 juta maklumat Maybank dan 7.2 juta maklumat SPR.

Antara maklumat yang bocor itu melibatkan nama pengguna, nama dan nama bapa, tarikh lahir, alamat dan nombor kad pengenalan.

Menurut pentadbir laman Facebook Pendakwah Teknologi, kebocoran maklumat itu merupakan satu masalah yang lebih besar daripada iklan scam di media sosial.

“Masalah data breach ini melibatkan keselamatan rakyat Malaysia. Sekiranya data breach ini benar-benar terjadi maka maklumat inilah yang bakal digunakan oleh orang jahat untuk nak scam rakyat Malaysia.

“Mohon bantuan pihak kementerian siasat maklumat ini. Adakah benar data pengguna Astro, SPR dan Maybank telah bocor? Hari itu data SPR dah dikatakan bocor, adakah bocor lagi sekali atau ini data lama yang bocor hari tu?” katanya lagi. – MalaysiaGazette