Guan Eng mahkamah
Dr. Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng (kiri) pada sidang media selepas Pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2019.

KUALA LUMPUR – Para netizen menyuarakan kehairanan mereka berhubung pelantikan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan ketika era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh dahulu.

Pelantikan itu dibuat ketika Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan masih berdepan tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Kritikan itu ekoran kenyataan Dr. Mahathir hari ini membangkitkan tentang isu pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri  (TPM).

Seorang netizen bertanya mengapa Dr. Mahathir yang juga bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) membenarkan Guan Eng dilantik sebagai Menteri Kewangan di bawah pentadbirannya.

“Tun dulu lantik LGE (Guan Eng) yang ada kes mahkamah juga. Kemudian Tun lantik (bekas Peguam Negara, Tan Sri) Tommy Thomas dan Tommy gugurkan pertuduhan ke atas LGE,” katanya.

Pada 3 September 2018, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo serta ahli perniagaan, Phang Li Koon daripada dakwaan bersubahat.

Dalam hantaran yang sama, Dr. Mahathir turut menyentuh tentang Perkara 33A Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa ‘jika Yang di-Pertuan Agong dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV dia hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong’.

Beliau seolah-olah membayangkan berhubung cadangan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan peruntukan yang sama dikuatkuasakan terhadap jawatan-jawatan lain dalam kerajaan termasuk TPM.

Seorang lagi netizen pula bersetuju mungkin ada kelemahan dalam sistem perundangan dan pentadbiran negara yang memerlukan penambahbaikan.

Menurutnya, mana-mana ahli politik yang sedang disiasat perlu digantung tugas sehingga bebas daripada segala pertuduhan.

“Mengapa anda tidak memulakan perubahan itu ketika berkuasa dahulu? Bukankah itu masa yang sempurna untuk melakukannya?” soalnya.

Sebahagian netizen juga berpandangan, apa yang berlaku sekarang adalah serupa dengan situasi yang dihadapi semasa Dr. Mahathir kembali menjadi perdana menteri selama 22 bulan dahulu.

Mereka mendakwa, Dr. Mahathir sengaja membiarkan situasi itu berlaku kerana ia memberi kelebihan kepadanya.

“Sekurang-kurangnya untuk masa sekarang biarkan pentadbiran negara berjalan lancar, buang pemikiran negatif dan jangan jejaskan kemajuan yang dicapai.

“Berikan masa lima tahun untuk membuktikannya… kemudian rakyat akan membuat keputusan,” jelas salah seorang daripada mereka. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bolehkah individu ada kes mahkamah jadi TPM? – Tun M

1 Komen

Comments are closed.