Superintendan Azli Mohd Noor menujukkan hasil barangan rampasan kes dan dua serbuan berasingan membabitkan kejadian kes pecah tabung masjid dan sekolah di Lipis, Pahang.

KUANTAN – Berpura-pura menjadi musafir dan berehat dalam masjid kemudian pecah tabung masjid merupakan taktik terbaharu penjenayah.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ali Mohd Noor berkata, pihaknya menerima sebanyak lima laporan kes pecah tabung antara 24 Disember sehingga 29 Disember 2022 lalu dan bertindak melaksanakan Op Pintu.

Hasil dari dua siri serbuan, pihaknya berjaya menahan dua lelaki berusia 28 dan 40 tahun yang disyaki melakukan aktiviti memecah tabung masjid dan sekolah di dua lokasi berasingan.

“Serbuan pertama dilakukan pada 28 Disember, lebih kurang pukul 9.30 malam di sebuah rumah di Taman Temerloh Jaya Indah, Temerloh dan serbuan  kedua pula dilakukan pada 29 Disember 2022 pada pukul 8 pagi di sebuah surau di Kampung Chegar Perah, Kuala Lipis.

“Menerusi serbuan dan tangkapan itu, polis turut merampas sebuah motorsikal jenama Yamaha Y15ZR berwarna merah, topi keledar, pam racun, seluar jeans, baju wang tunai RM74,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Azli, suspek pertama aktif bermula Disember 2022 dan menyasarkan masjid-masjid tepi jalan utama dengan berpura-pura sebagai musafir serta melakukan jenayahnya pada waktu siang hari sekitar jam 2 hingga 4 petang.

Manakala suspek kedua pula bergerak aktif bermula sejak hujung Ogos 2022 akan menyasarkan masjid-masjid, sekolah serta rumah di tepi jalan utama dan melakukan perbuatan jenayahnya sekitar pukul 2 hingga 5 pagi.

Hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek  mendapati mereka positif dadah jenis MOP dan methamphetamine dan kini masih ditahan reman di Lokap Balai Polis Kuala Lipis sehingga 3 Januari 2023 untuk siasatan lanjut.

Suspek pertama mempunyai empat kes rekod jenayah lampau berkaitan ugutan jenayah, dadah dan menipu melibatkan Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 39(a)(1) Akta Dadah Berbahaya dan Seskyen 3 Akta Penagih Dadah.

Manakala suspek kedua pula ada tiga rekod lampau berkaiatan kes curi dan kes dadah melibatkan Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

“Dengan tertumpasnya dua invidu berkenaan, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes melibatkan kes pecah tabung masjid, satu kes pecah sekolah, satu kes pecah tabika dan satu  kes pecah rumah yang melibatkan anggaran kerugian sebanyak RM5,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dalam bangunan yang boleh membawa hukuman penjara boleh sampai 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah atau sekolah yang boleh membawa hukuman penjara boleh sampai 14 tahun penjara dan denda. – MalaysiaGazette