MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan mengadakan mesyuarat khas Selasa depan bersama beberapa agensi berkaitan membincangkan isu pelancong bukan muslim yang terlibat aktiviti bertentangan dengan ajaran umat Islam di negara ini.
Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, ia susulan tular keratan video yang menunjukkan sekumpulan pelancong warga asing berkelah di pulau keramat itu dengan hanya berpakaian bikini tanpa mempedulikan rata-rata pengunjung Islam yang lain.
“Pada Selasa minggu hadapan, kita akan adakan mesyuarat khas bersama Polis Diraja Malaysia, (PDRM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Pembangunan Pulau-pulau Melaka (MPPM) serta beberapa lagi agensi lain berkaitan.
“Mesyuarat mungkin akan membincangkan apakah tindakan terbaik boleh diambil terhadap pelancong asing yang merosakkan imej Pulau Besar yang selama ini dihormati dengan nilai-nilai sejarah bermulanya tamadun Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai operasi cegah maksiat, Operasi Ambang Tahun Baharu 2023 bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Melaka, Akmal Nadzim Abdullah di sini awal pagi tadi.
Ia bagi mengulas insiden memalukan itu yang dipercayai dirakamkan pengunjung pulau berkeluasan kira-kira 168 hektar berkenaan yang terletak kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar pada 25 Disember lalu.
Rakaman berdurasi hampir tiga minit itu memaparkan pelancong dipercayai warga asing bukan Islam hanya mengenakan bikini ketika berjalan selepas bermandi manda di pantai pulau berkenaan.
Mengulas lanjut, Che Sukri berkata, pihaknya akan mencadangkan pemasangan lebih banyak papan tanda mengingatkan pelancong agar sentiasa berpakaian sopan dan tidak melakukan aktiviti bertentangan ajaran Islam di pulau terbabit.
“Mungkin juga ada dalam kalangan pelancong tidak tahu sejarah-sejarah Islam yang banyak terdapat Pulau Besar ini selain kita juga berharap Rakan Setia Bersama JAIM, pengusaha bot dan penginapan di sini dapat bersama-sama membantu pihak berkuasa.
“Di peringkat awal, mereka boleh membantu menasihati pelancong agar menghormati kesucian Islam dengan cara menjaga cara pemakaian serta tingkah laku serta aktiviti yang boleh menyentuh sensitiviti umat Islam,” katanya.
Tambahnya, JAIM tidak boleh mengambil tindakan terhadap pelancong yang berpakaian menjolok mata dalam insiden 25 Disember lalu kerana Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 hanya terpakai untuk mereka yang beragama Islam.
Sejak puluhan tahun lalu, pulau ini sering dikaitkan dengan pelbagai peristiwa misteri serta lagenda apabila menjadi lokasi persemadian tokoh besar dalam sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Antaranya adalah Makam Sultan Al-Ariffin, Makam Syarifah Rodziah, Makam Tujuh Beradik, Makam Nenek Kebayan, Makam Tok Janggut, Makam Seribu dan Makam Nisan Satu.
Lokasi lain yang turut menjadi tumpuan dan pelbagai kisah misteri adalah Batu Tengkorak, Tasik Biawak, Istana Bunian dan Gua Yunus. – MalaysiaGazette.

















tidak payah dibuka untuk pelancong lagi mudah dikawal pulau tersebut. Ekosistem dan alam sekitar pun terpelihara. Setakat hendak mandi banyak pulau lain boleh dilawati.