Jais Abdul Karim Nazlan pendakwaan terpilih SPRM Shafiq
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mendesak agar tindakan pendakwaan dijalankan secara profesional, benar-benar adil dan tiada unsur pendakwaan terpilih.

Perkara itu merupakan salah satu daripada 10 tekad yang digariskan oleh MCW sempena Tahun Baharu 2023 hari ini.

Presiden MCW, Jais Abdul berkata, selain itu, pihaknya menyarankan agar pengadilan dilakukan secara lebih efektif di mana mahkamah harus membuat keputusan dan menghukum secara adil tanpa mengira siapa pelakunya serta tanpa ada istilah ‘pilih bulu’.

“Hukuman yang dijatuhkan juga mesti bukan sahaja sebagai satu pengajaran kepada pelaku rasuah tetapi juga sebagai amaran kepada individu-individu lain agar tidak menghampiri perbuatan rasuah,” katanya.

Menurut beliau, MCW turut mendesak penguatkuasaan undang-undang yang lebih efektif di mana semua aduan dan maklumat perbuatan rasuah mestilah disiasat secara adil dan saksama.

Tegasnya, tidak boleh ada andaian, persepsi atau realiti bahawa ada amalan penguatkuasaan terpilih.

“Individu yang ditohmah harus bersedia untuk membersihkan namanya dengan cara yang betul dan bukan dengan menggunakan kuasa atau pengaruh politik,” katanya.

Jais berkata, MCW turut mendesak agar pentadbiran kerajaan bebas daripada campur tangan politik supaya semua urusan pentadbiran perkhidmatan awam adalah hasil penyampaian yang cemerlang dan sistem perolehan berasaskan tadbir urus yang baik serta telus.

“Nilai untuk wang dan kepentingan rakyat mestilah mengatasi lain-lain faedah,” jelasnya.

Selain itu, menurutnya, MCW mahu semua pihak terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan meningkatkan semangat serta memperhebatkan kempen pencegahan rasuah untuk menjadikan Malaysia bebas rasuah agar negara ini lebih dikenali kerana integritinya dan bukan rasuah.

Beliau menambah, MCW tidak akan berputus asa untuk terus mendorong usaha kerajaan menerusi Pelan Antirasuah Nasional yang mempunyai pelbagai inisiatif dalam mencapai matlamat negara bebas rasuah.

“Usaha ini MESTI mendapat sokongan jitu daripada Ahli Parlimen, pemimpin organisasi dan masyarakat,” jelasnya.

Jais memberitahu, MCW juga mahu semua peringkat masyarakat didesak untuk turut serta dalam usaha menjadikan Malaysia bersih daripada amalan rasuah.

Beliau berkata, MCW bertekad untuk melibatkan seluruh masyarakat dalam perjuangan itu kerana perubahan nilai hidup mereka boleh membawa kepada perubahan senario rasuah di sesebuah negara.

“MCW menggalakkan pemerkasaan pembangunan nilai. Kita harus berupaya membangunkan nilai budaya bangsa Malaysia yang bermaruah dan patuh kepada sistem tadbir urus,” katanya.

Jais menambah, MCW juga menyeru semua rakyat bertekad menjadikan negara ini bebas rasuah di mana pelaku jenayah itu harus dikecam.

“Setiap warganegara harus membina jati diri agar hidup penuh berintegriti dan tidak menerima rasuah dan juga tidak memberi rasuah,” jelasnya. – MalaysiaGazette