Lim kit siang dipunggah Anwar antirasuah Kerajaan Perpaduan reformasi Parlimen calon pembangkang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang menyokong sepenuhnya komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengembalikan dana berbilion ringgit yang ‘dipunggah’ oleh pemimpin terdahulu kepada rakyat.

Beliau yang turut menyokong dasar sifar toleransi Anwar terhadap rasuah berkata, langkah tersebut dapat memastikan sekurang-kurangnya sebahagian dana tersebut dapat dipulangkan.

“Seperti yang Anwar katakan, masih ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang meraih RM40 sehari, tetapi pada masa yang sama, ada mereka yang mengambil RM4 juta sehari.

“Perkara yang sama penting dengan usaha untuk menghidupkan semula ekonomi dan memastikan adanya kerajaan yang bersih, jujur, efisien dan bebas rasuah adalah usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia demi suatu cita-cita bersama sebagai rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2023, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan berazam untuk mengembalikan dana negara yang ‘dipunggah’ oleh pemimpin terdahulu dipulangkan semula kepada rakyat.

Menurut beliau, kerajaan pimpinannya akan bertegas untuk menamatkan amalan yang menggunakan kepimpinan politik dan kedudukan dalam kerajaan sebagai ‘kesempatan untuk memunggah kekayaan’.

Sementara itu, Kit Siang menegaskan, dalam usaha mempertahankan demokrasi dan kebebasan bersuara, ia tidak bermakna penipuan, fitnah, dan berita palsu yang mengeksploitasikan isu perkauman dan keagamaan boleh ditoleransi untuk memecah-belahkan rakyat.

Beliau memberitahu, Malaysia perlu menunjukkan kepada dunia tentang bagaimana sebuah negara majmuk dapat membina masa hadapan bersama dengan perpaduan, persefahaman, dan keharmonian daripada kepelbagaian etnik, bahasa, agama dan budaya yang ada.

“Perkara ini adalah satu pengajaran yang amat diperlukan dalam dunia global yang kini terasa semakin rapat dan kecil dengan perubahan besar yang dibawa oleh teknologi maklumat.

“Mari semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, melihat diri kita semua sebagai pertamanya rakyat Malaysia, supaya kita dapat jadikan Malaysia sebuah negara hebat, di mana salah guna kuasa, rasuah dan kleptokrasi tidak lagi dikaitkan dengan nama negara kita yang tercinta,” jelasnya. – MalaysiaGazette