ACP A A. Anbalagan

SERDANG – Seorang lelaki warga Indonesia yang menghilangkan diri kerana disyaki membunuh isterinya dua minggu lalu di Bandar Kinrara, Puchong, dekat sini, diberkas polis di Batu Gajah, Perak semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, soal siasat ke atas mendapati dalam insiden 16 Disember lalu suspek mengaku memukul mangsa dengan menggunakan spanar boleh laras di bahagian belakang kepala hingga maut.

“Punca kejadian adalah suspek bergaduh dan berang selepas isterinya mengambil wang simpanan bersama berjumlah RM6,000 dan telah menghantar ke kampung mangsa tanpa pengetahuannya dan motif bunuh adalah disebabkan marah,” katanya dalam kenyataan, malam semalam.

Menurut Anbalagan, bertindak atas maklumat setelah mempergiatkan misi pencarian suspek, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang yang dibantu sepasukan polis Balai Polis Batu Gajah berjaya menjejaki dan menahan suspek berusia 27 tahun pada jam 12.30 tengahari semalam.

Tambah beliau, siasatan mendapati suspek berkahwin dengan mangsa kira-kira enam tahun lalu dan mereka mempunyai empat orang anak berusia lingkungan antara 1 hingga lima tahun.

Jelasnya, suspek kini ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Anbalagan berkata, lelaki itu akan dihadapkan ke mahkamah untuk proses perintah reman bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette