Tenggayon
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan masalah ketiadaan bahu jalan di Kampung Tenggayon, Pontian berlaku di dalam kawasan Parlimen yang diwakilinya.

Menurut beliau, walaupun kampung berkenaan terletak dalam daerah Pontian, ia berada di kawasan Parlimen Tanjung Piai.

“Dalam satu daerah ada dua kawasan Parlimen,” jelasnya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian mengulas tentang laporan BH hari ini mengenai tindakan penduduk Kampung Tenggayon yang membina bahu jalan sepanjang 1.5 kilometer secara bergotong-royong dengan menggunakan duit sendiri.

Mereka mengambil tindakan itu kerana bimbang dengan keselamatan pengguna jalan raya terutamanya pelajar sekolah apabila berselisih dengan kenderaan lain.

Pada masa yang sama, Ahmad mengucapkan tahniah atas usaha mereka membina sendiri bahu jalan tersebut.

“Moga pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) / Infra Desa / Pejabat Daerah / Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan lain-lain yang berkaitan akan turapkan yabg telah ada bahu jalan itu. Terima kasih,” katanya. – MalaysiaGazette