PH Kedah mengadakan mesyuarat bagi mengatur strategi menawan Kedah pada PRN nanti. - Gambar FB Dr Ismail.

ALOR SETAR – Pakatan Harapan (PH) Kedah menyifatkan ‘tsunami Perikatan Nasional (PN)’ di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas bersifat sementara.

Pengarah Biro Komunikasi dan Penerangan PH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, gelombang sementara itu wujud disebabkan tiupan sentimen kaum dan agama oleh pihak tertentu.

Jelas beliau, sehubungan itu, pihaknya yakin untuk menawan semula Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

“Menyedari tugas berat untuk berdepan dengan ‘tsunami PN’ pada PRU15, PH telah mengatur pelbagai strategi dan sangat yakin keadaan telah mula berubah.

“Keazaman ini diikrarkan oleh semua pimpinan tertinggi PH negeri dalam mesyuarat pengurusan dua hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, pihaknya akan menawan Kedah berlandaskan kepada tiga faktor utama.

“Faktor pertama adalah ‘tsunami PN’ bersifat sementara kerana gelombang itu wujud atas tiupan sentimen bangsa dan agama.

“Ramai telah menyedari hakikat permainan sentimen ini yang hanyalah untuk meraih laba politik selain tidak memberi apa-apa keuntungan dalam usaha pembinaan negara dan oleh sebab itu mereka sudah mula berubah.

“Kedua membabitkan kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Perpaduan memerintah walaupun baru hanya sebulan mengambil alih kerajaan.

“Faktor ketiga pula, PH akan membentuk kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) setelah sama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan dan perbincangan mengenainya sudah bermula di semua peringkat,” kata beliau. – MalaysiaGazette