Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Datuk Norazam Khamis Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor akan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) untuk mengenalpasti punca kebakaran Wisma Jakel di Shah Alam, Selangor hari ini.

Pengarahnya, Datuk Norazam Khamis berkata, siasatan terhadap kebakaran itu akan dijalankan secara terperinci memandangkan ia melibatkan jumlah kerugian yang tinggi.

“Anjing pengesan ini akan mengesan dari segi punca kebakaran termasuk sekiranya wujud sebarang unsur berbentuk khianat atau bahan yang memercepatkan api merebak semasa kejadian itu,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Tambah beliau, kebakaran itu turut merebak ke bangunan berhampiran.

Menurut Norazam, , pada peringkat awal pasukan bomba  berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran namun api kemudian merebak ke tempat simpanan dan stor barangan jualan.

“Usaha memadam kebakaran dijalankan dengan bantuan jentera pemadam yang digerakkan dari Balai Bomba Damansara, Klang, Shah Alam, Sungai Pinang dan Subang yang kemudian berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya.

“Seramai 89 anggota bomba melibatkan enam balai bomba dari seluruh negeri ini digerakkan dalam operasi pemadaman yang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 7.08 pagi tadi,” ujarnya.

Norazam berkata, anggota bomba berdepan kesukaran semasa memasuki tingkat tiga wisma itu yang merupakan setor yang padat dengan kain menyebabkan asap tebal. – MalaysiaGazette