Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang sudah menerima dos penggalak pertama Covid-19 dan telah melebihi tempoh enam bulan disaran supaya mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin bivalen.

Ia susulan varian dan subvarian yang ada di China telah dikesan di negara ini berdasarkan maklumat yang dilaporkan negara itu kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, vaksin monovalen sedia ada sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian akibat jangkitan tersebut.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) amat berharap, peratusan pengambilan dos penggalak akan terus meningkat, terutamanya daripada golongan yang berisiko memandangkan ketika ini hanya 49.8 peratus sahaja rakyat Malaysia yang telah mendapat vaksin dos penggalak pertama dan hanya 1.9 peratus sahaja yang telah mengambil vaksin dos penggalak kedua,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, dengan pelanjutan Malaysia sebagai “Kawasan Tempatan Jangkitan” sehingga Jun 2023, ia memberi ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera bila diperlukan.

Jelas beliau, ia termasuk mengubah dasar sedia ada terutama penjagaan kesihatan pengurusan pandemik Covid-19 di sempadan negara serta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara.

Tambah beliau, ia akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara (warganegara Malaysia dan bukan warganegara) yang tiba dari China bahkan, yang tiba dari semua negara di dunia.

Katanya lagi, KKM juga sentiasa bersiap siaga untuk meningkatkan kapasiti kesihatan bagi menghadapi sebarang
kemungkinan serta sentiasa berhubung rapat dan mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bersama pihak WHO, negara China serta dengan negara-negara ASEAN.

“KKM juga sentiasa mengambil polisi berpandukan dan berasaskan sains serta data yang tepat.

“Berdasarkan laporan, pihak WHO telah mengadakan mesyuarat dengan pihak China bagi urusan perkongsian data terkini dan ia akan diteruskan bagi mengetahui secara terperinci maklumat, situasi dan pengurusan Covid-19 di negara tersebut,” jelasnya. – MalaysiaGazette