Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Perbuatan menampar bukan sahaja salah jika dilakukan kepada remaja perempuan tetapi juga terhadap lelaki.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menegaskan, perbuatan itu juga juga tidak patut dilakukan terhadap sesiapa pun termasuk ke atas pembantu rumah.

Justeru, beliau meminta rakyat di negara ini supaya segera menghentikan perbuatan  penderaan fizikal sebagai kaedah untuk sesorang mematuhi satu-satu arahan.

“Baca komen mengenai insiden tampar oleh jurulatih bola tampar mengatakan adalah salah untuk menampar perempuan.

“Tampar remaja perempuan pun salah. Malah, menampar sesiapa adalah salah.

“Rakyat Malaysia mesti berhenti menormalkan penderaan fizikal sebagai cara untuk pematuhan tingkah laku – salah pada kanak-kanak, atlet, pasangan atau pembantu rumah!” ciap beliau di Twitter.

Komen Hannah itu susulan insiden dua remaja perempuan ditampar oleh jurulatih mereka baru-baru ini.

Klip video itu didakwa berlaku ketika Kejohanan Remaja B-14 di Kota Tinggi, Johor berlangsung pada 14 hingga 16 Disember lalu.

Ekoran kejadian itu, Kebanyakan netizen di media sosial menyatakan adalah salah untuk jurulatih pasukan Melaka Bawah 14 Tahun (B14) wanita itu menampar remaja perempuan.

Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) mengambil tindakan tegas apabila menggantung sementara jurulatih pasukan Melaka Bawah 14 Tahun (B14) wanita yang tular kerana menampar dua pemainnya.

MAVA dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi menyiasat insiden itu segera.

“Buat masa ini jurulatih itu digantung daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan sehingga siasatan selesai.

“Mava sama sekali tidak akan bertoleransi dengan sebarang penggunaan kekerasan ke atas mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Pendidikan (KPM) juga menyiasat insiden tersebut dan berkata pihaknya akan turut mengadakan pertemuan dengan ibu bapa pelajar yang terlibat.

“KPM juga akan meneruskan siasatan bagi tujuan tatatertib dan sekiranya didapati bersalah, tindakan sewajarnya akan diambil.

“KPM juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis, jika ada laporan polis dibuat mengenai insiden berkenaan,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast