Petroliam Nasional Bhd (Petronas)
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menilai semula kedudukan negeri Kelantan dalam dua isu membabitkan sumber gas dan minyak di sekitar pesisir pantai negeri itu.

Pengerusi Eksekutif dan Teknokrat Malaysia (Metra), Ir Ariffahmi Rahman berkata, umum mengetahui bahawa sumber gas di pantai Kelantan telah dibawa ke selatan Thailand melalui paip untuk diproses di Songkla dan disambungkan ke Kedah.

Perkara itu katanya, amat merugikan Kelantan dan telah menyekat potensi negeri berkenaan dalam membangunkan indusrti gas di pantai Bachok selain, menafikan hak rakyat Kelantan untuk mengaut semua limpahan aktiviti industri tersebut.

“Saya percaya perkara ini telah berlarutan lama tanpa penyelesaian yang memihak kepada rakyat Kelantan kerana semua formula yang dilaksanakan adalah berasaskan dendam dari perseteruan politik sempit pada masa tersebut dan Datuk Seri (Anwar Ibrahim) perlu berlapang dada dengan pilihan rakyat serta tidak perlu menyambung niat songsang ini.

“Saya percaya Petronas mempunyai pelbagai pilihan untuk membuat “realignment” dan “reengineering” dalam komponen pengeluaran untuk memastikan kerajaan negeri diberi sumber tenaga bagi keperluan indusri dan rakyat Kelantan mendapat manfaat terbanyak dalam perkara ini atas asas bahawa sumber gas adalah dari Pantai Kelantan.

“Perkara ini juga selaras dengan penyiapan semua infrastruktur utama seperti lebuhraya , pelabuhan, airport antarabangsa, ECRL dan lain yang bakal menjadi enjin penggalak  kepada potensi pengembangan industri di pantai timur semenanjung,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kata Ariffahmi, Kerajaan Persekutuan juga perlu memberikan hak pengurusan telaga minyak di pantai Kelantan kepada kerajaan negeri.

Katanya, Metra percaya, dalam keadaan kedudukan industri semasa dunia dan rekod pengeluaran industri dari Petronas serta kedudukan kewangan negara semasa yang terus menyusut, pelbagai alasan boleh diberikan untuk menafikan hak kerajaan negeri dan rakyat untuk mendapat bayaran royalti itu.

“Justeru, Metra merasakan sudah tiba masanya Datuk Seri mempertimbangkan untuk memberikan kerajaan negeri hak mengurus sendiri bagi semua atau sebahagian dari telaga minyak dari pantai Kelantan ini sebagai solusi segera dari kemelut bayaran royalti yang tidak berkesudahan sekian lama.

“Saya percaya kerajaan negeri mempunyai tenaga pakar untuk mengurus keperluan ini dan perlu membuat persediaan ke arah itu,” katanya.

Tambah beliau, Petronas boleh dirunding untuk menjadi penasihat bagi memulakan industri berkenaan supaya kerajaan negeri dan rakyat Kelantan mendapat manfaat terus dan cepat tanpa menunggu polemik royalti yang panjang dan tidak berkesudahan.

“Metra sangat berharap di atas prinsip keadilan sejagat yang menjadi jiwa dan roh baru bagi tatakelola pentadbiran Datuk Seri selaku Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, cadangan ini perlu dipertimbangkan untuk menemui solusi segera dan manfaat berpanjangan bagi Kerajaan dan rakyat Negeri Kelantan

“Metra juga berdoa supaya Datuk Seri sentiasa dilimpahi dengan hidayah dan berkah yang berpanjangan serta diberi maunah dalam melayari bahtera kuasa seterusnya membawa Malaysia yang lebih adil dan gemilang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast