Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

GEORGE TOWN –  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan satu mesyuarat Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat sebelum Tahun Baharu Cina bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, mesyuarat itu antaranya akan membincangkan mengenai kerjasama kerajaan perpaduan di peringkat pusat dan negeri bagi menghadapi PRN, pengagihan kerusi antara parti dan pemilihan calon.

“Kami telah mengadakan mesyuarat dengan Anwar minggu lepas dan beliau menyatakan satu mesyuarat akan diadakan sebelum Tahun Baharu Cina iaitu minggu ketiga bulan ini (Tahun Baharu Cina pada 22 Jan).

“Mesyuarat itu akan bincang secara terperinci mengenai kerjasama kerajaan perpaduan di peringkat pusat dan juga di kerajaan negeri masing-masing dalam menghadapi PRN,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, yang turut dihadiri Setiausaha DAP Pulau Pinang Lim Hui Ying di sini hari ini.

Enam negeri yang akan terlibat dengan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, Hui Ying yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata, DAP Pulau Pinang telah melantik bekas Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai sebagai Pengarah Kempen PRN 2023.

“Wong merupakan seorang ahli politik yang berpengalaman dan beliau akan memimpin kempen PRN Pulau Pinang yang dijangka pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata Wong juga akan berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Guan Eng dalam membantu Ahli Parlimen Bagan itu menjalankan tugas sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan.

Sementara itu Hui Ying berkata, bagi menghadapi PRN, DAP Pulau Pinang memfokuskan tiga perkara iaitu pemulihan ekonomi negeri pasca pandemik COVID-19, program kebajikan rakyat dan mengekalkan keharmonian masyarakat. – BERNAMA