Keadaan bangunan Jakel yang terbakar pada kawal Januari 2023 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Wisma Jakel, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 01 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor akan memanggil saksi atau individu yang telah merakam video kejadian kebakaran yang berlaku di Wisma Jakel, Seksyen 7 Shah Alam, bagi membantu siasatan.

Pengarah JBPM Negeri Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya melihat kebakaran yang berlaku kali kedua di Wisma Jakel pada awal pagi tadi dari pelbagai sudut sama ada ia membabitkan jenayah atau sebagainya.

Katanya, sehingga kini seramai 43 pegawai dan anggota bomba serta khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bomba telah digerakkan ke lokasi bagi memadamkan kebakaran dan juga melakukan siasatan forensik bagi mengenal pasti punca kebakaran.

“Kita lihat aspek kebakaran sama ada disebabkan bara sebelum ini (kebakaran kali pertama) atau sistem pendawaian iaitu akibat litar pintas namun pendawaian mungkin boleh diketepikan kerana bekalan elektrik di deretan bangunan berlaku kebakaran ini telah ditutup sepenuhnya.

“Operasi akan berterusan sehingga semua punca api dipadamkan sepenuhnya dan kita telah menghantar pasukan masuk ke dalam untuk memunggah dan mengalihkan tekstil yang ada bagi memastikan tiada bara api selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jovesster Junil bersama anjing pengesan Unit K9 yang bernama Rusty ketika melakukan siasatan berikutan semalam berlakunya kebakaran di sebuah gedung perniagaan tekstil ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Wisma Jakel, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 01 JANUARI 2023.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim turut memantau situasi di lokasi kejadian sejak pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Wisma Jakel Shah Alam terbakar

Unit K9 Digerakkan di Wisma Jakel

Tambah Norazam lagi, pihak bomba akan memanggil saksi-saksi yang melihat kejadian kebakaran itu untuk membantu siasatan lanjut.

Malah katanya, pasukan bomba juga akan menganalisa video insiden kebakaran itu dengan kerjasama pasukan polis selepas klip rakaman kebakaran berkenaan ditularkan di media sosial sejak kejadian pertama.

“Kita akan memanggil saksi-saksi serta individu yang telah merakam kebakaran dan menularkan di media sosial untuk membantu kita dalam siasatan kejadian ini.

“Tindakan ini diambil untuk mendapatkan maklumat berdasarkan video yang dipamerkan di media sosial. Kita akan menganalisa dalam semua aspek untuk mengetahui dari mana api (kebakaran) bermula.

“Kita akan melakukan siasatan dan kajian secara mendalam untuk mendapatkan punca sebenar kebakaran.

“Buat masa ini pasukan bomba belum ada sebarang kesimpulan mengenai insiden kebakaran kedua tengah malam tadi dan segalanya akan disiasat dalam masa 14 hari dan sampel kebakaran juga akan dianalisa pasukan forensik secara terperinci,” katanya lagi.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan kerja-kerja pemadaman api sekitar jam 4 petang tadi, selepas hampir 9 jam kebakaran berlaku melibatkan sebuah gedung perniagaan tekstil Jakel ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Wisma Jakel Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 01 JANUARI 2023.

Tegas Norazam, pihaknya perlu membuktikan dengan fakta dan hasil analisa yang dilakukan berdasarkan bahan bukti yang diperoleh untuk mengetahui punca kebakaran itu.

Dalam kejadian pertama pada jam 7.08 pagi Ahad lalu, kebakaran yang tercetus di bangunan tiga tingkat milik Wisma Jakel yang berkeluasan 80,000 kaki persegi itu telah mengakibatkan syarikat tekstil itu mengalami kerugian dianggarkan lebih RM300 juta.

Dalam kejadian terbaharu jam 12.40 tengah malam tadi, kebakaran berlaku di bilik simpanan kain langsir di wisma tersebut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast