babi
Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk mengawal kestabilan harga daging babi menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina akan dibawa untuk perbincangan mesyuarat Kabinet, esok.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengumumkan perkara itu dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau mengulas tentang pertemuannya hari ini dengan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin yang membincangkan tentang cadangan tersebut.

“Kerajaan Perpaduan komited dalam meneruskan kerjasama rentas kementerian.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memastikan rantai bekalan makanan kekal stabil demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, Foong Hin berkata, dalam lawatan kerja ke Sabah baru-baru ini, beliau mendengar dan mengambil maklum kegusaran pelbagai pihak berkenaan kestabilan bahan makanan dan kos menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, termasuk isu bekalan dan kos daging babi.

Menurut beliau, keterjaminan makanan dan kos sara hidup adalah isu yang saling berkait rapat dan memerlukan usaha yang menyeluruh serta penyelarasan merentasi kementerian.

“Saya menyambut baik kesudian Datuk Seri Salahuddin meluangkan masa untuk berbincang mengenai hal-hal ini.

“Kementerian-kementerian kami akan meneruskan bekerjasama bagi memastikan rantai bekalan makanan kekal stabil supaya kesejahteraan rakyat terus terjamin,” jelasnya. – MalaysiaGazette