Johari Harun serius membincangkan isu keretakan rumah di Taman Aman Plus, Taman Kuantan Jaya di sini hari ini

KUANTAN – Sijil penyiapan dan pematuhan (CCC) yang diperoleh pemaju projek perumahan Aman Plus, pada April lalu menimbulkan persoalan apabila hampir seluruh bahagian 30 buah kediaman itu retak.

Persoalan itu ditimbulkan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Johari Harun yang melawat kediaman tersebut petang tadi.

”Kerosakan besar pada struktur binaan menjadi persoalan dan CCC pula diluluskan. Ini persoalan yang besar. Saya difahamkan CCC dilulus sedangkan sebelum itu penduduk mendakwa sudah ada keretakan.

“Daripada keretakan kecil, akhirnya  menjadi besar dan  saya ingin mengetahui mengapa perkara itu boleh berlaku,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pembeli di taman perumahan.

Pertemuan itu diadakan susulan rungutan pembeli yang kecewa kerana rumah yang dibeli mengalami kerosakan teruk dan pada masa sama perlu menanggung pinjaman perumahan.

Justeru, beliau mahu berjumpa dengan arkitek dan mahu tahu bagaimana kelulusan CCC itu diperoleh sedangkan projek kediaman ini bermasalah.

Johari berkata, hasil pertemuan dengan pemaju perumahan, syarikat terbabit telah menyatakan kesediaan membaiki kerosakan rumah yang terlibat, namun selepas projek pembentungan dihentikan.

Johari memeriksa lokasi mendapan di sekeliling kawasan Perumahan Aman Plus hari ini

Tambah Johari, beliau dimaklumkan isu keretakan struktur di kediaman berkenaan berlaku dipercayai berpunca daripada  sebuah projek pembentungan berhampiran kawasan perumahan terbabit.

Justeru pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), pembeli, pemaju perumahan termasuk arkitek, dan jurutera profesional yang terlibat dalam projek perumahan terbabit, selain melakukan bancian kepada rumah yang terjejas dalam tempoh tujuh hari.

“MBK perlu membantu dan mengenal pasti kerosakan utama setiap unit rumah yang terlibat dengan melakukan pemeriksaan secara menyeluruh.

“Bancian setiap unit rumah yang mengalami kerosakan akan dilakukan oleh MBK sebagai mewakil Kerajaan Pahang bersama pembeli, pemaju perumahan dan pihak berkaitan dalam tempoh seminggu.

Tegas Johari, kata putus akan dibuat bagi menyelesaikan masalah berkenaan selepas menilai tahap kerosakkan sebenar.

Selain itu pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan pelaksanaan projek pembetungan bagi mengetahui permasalahan yang dialami seterusnya mencari jalan penyelesaian kepada semua pihak. – MalaysiaGazette