R.Ramasamy. -Foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mengabaikan gelombang hijau yang dicetuskan oleh Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy berkata, gelombang hijau tidak boleh diangap sebagai fenomena biasa.

Ia mungkin membawa kesan terhadap PH pada pilihan raya negeri yang diadakan pertengahan tahun ini.

Justeru, katanya, parti komponan Melayu dalam Kerajaan Perpaduan terutama UMNO perlu memikirkan cara untuk menarik sokongan kaum itu terhadap kerajaan.

“Penyandang UMNO-PH mungkin penting tetapi penyandang sebegitu dengan ketiadaan peperangan dalam bidang kebudayaan mungkin tidak berkesan.

“UMNO kehilangan sokongan Melayu pada PRU15 kerana parti itu dan beberapa pemimpinnya didakwa terlibat dengan rasuah. Saya tidak pasti bagaimana penyandang UMNO-PH dalam kerajaan sekarang mungkin bekerja untuk keuntungan kerajaan atau PH sekarang.

“Gabungan PH terutamanya komponen Melayunya termasuk UMNO mungkin perlu memikirkan cara dan jalan keluar daripada kemelut kemerosotan sokongan Melayu dan peningkatan sokongan kepada PN,” katanya.

Ramasamy berkata, walaupun Kerajaan Perpaduan berkuasa dengan PH menjadi tonggak utama namum asasnya dalam budaya Melayu agak lemah.

Jelas beliau, pada pilihan raya umum lalu, PH hanya memperoleh 10 peratus undi Melayu manakala PN memperoleh lebih 50 peratus undi.

PN, menurut beliau, secara keseluruhan mempunyai hegemoni budaya ke atas orang Melayu dan bukannya PH.

Situasi itu, menurut beliau, mungkin akan mendatangkan kesukaran untuk PH mengekalkan kuasa dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Persoalannya, bagaimanakah PH boleh terus berkuasa tanpa mendapat sokongan orang Melayu. Lebih-lebih lagi, bagaimana PH boleh mengatur langkah untuk memenangi PRU16 akan datang dalam masa lima tahun.

“Kesinambungan pemerintahan PH dalam kerajaan dan kembali berkuasa pada masa akan datang mungkin sukar,” katanya.

Beliau menegaskan, menjadi asas untuk menangani hegemoni budaya PN khususnya sokongan Melayu terhadap Pas.

Tanpa usaha hegemoni kontra budaya yang melibatkan tumpuan utama kepada kaum dan agama adalah sukar untuk memenangi orang Melayu.

Pun begitu, menurut Ramasamy, kuasa gelombang hijau bukanlah sesuatu yang tidak dapat dihalang.

“Ia mungkin tidak akan kekal tetapi kehancurannya boleh dipercepatkan dengan usaha PH dan parti-parti persaudaraannya dengan berfikir dan bertindak ke arah membangunkan dan mengekalkan strategi menentang hegemonik budaya PN.

“Strategi sebegitu perlu meneliti bagaimana Bersatu dan Pas menggunakan konsep berkaitan kaum dan agama secara berkesan untuk menafikan sokongan kepada PH,” katanya.

Sebagai alternatif, menurut beliau, strategi jangka pendek dan panjang harus diusahakan dalam memutuskan rantaian sokongan terhadap gelombang hijau dari segi bangsa dan agama.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast