Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Isu sama ada jawatan Presiden UMNO perlu dipertandingkan atau tidak terus menjadi polemik.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menegaskan, jawatan yang disandang oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu tidak wajar dipertandingkan.

Tambah beliau, jika jawatan tersebut dipertandingkan adakah ahli UMNO sanggup menjadikan ‘pengecut’ atau ‘liberal’ sebagai presiden.

“Kita nak harapkan orang pengecut yang paling awal lari lintang pukang selepas UMNO kalah pada PRU14 dulu? Kita nak bergantung kepada orang yang gagal jadi Perdana Menteri ke-9 atau kita nak serahkan nasib parti kepada orang yang sibuk jadi broker yang selama ini nak jual maruah UMNO kepada parti lawan?

“Atau kita nak pilih seorang individu yang bergegar-gegar mahu gantikan tempat presiden ketika berceramah di pentas kempen PRU15 lepas tapi akhirnya kalah di negeri liberal.

“Sudahlah dia sendiri ditolak di negeri sendiri, lepas itu diberi peluang pula bertanding di negeri lain kononnya dia cukup popular tapi tumbang juga,” katanya dalam kenyataan.

Nur Jazlan menegaskan, kekalahan UMNO pada PRU15 lalu tidak seharusnya menjadi alasan untuk menukar Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Kekalahan lepas bukan harus dipikul oleh Ahmad Zahid dan Mohamad sahaja tapi mesti dipikul bersama oleh semua ahli.

“Daripada pemimpin peringkat negeri, bahagian dan cawangan. Sebaiknya semua orang muhasabah diri, jadikan kekalahan itu sebagai pedoman dan pengajaran untuk kembali bekerja bagi memenangi hati pengundi serta menyerang balas pihak lawan.

“Jadilah penyokong setia kepada parti walaupun terpaksa berkorban diri,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan ahli UMNO supaya tak terpedaya dengan sesetengah ahli Parlimen UMNO yang menang bawah tiket UMNO tetapi selepas menang melupakan parti.

Katanya, ahli Parlimen terbabit macam kacang lupakan kulit seperti bekas Ahli Parlimen UMNO yang melompat dan bersekongkol dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Sebab itulah saya rasa untuk apa jawatan presiden dan timbalan ini tak payahlah nak lawan-lawan. Baik kita fokus kepada macam mana nak kukuhkan kembali UMNO dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat selepas parti difitnah teruk selama ini,” kata Nur Jazlan.

Tambah beliau, ketika ini Ahmad Zahid mempunyai platform terbaik untuk mendekati penduduk luar bandar.

Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah Ahmad Zahid boleh membina semula keyakinan terhadap keupayaan UMNO membela rakyat.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. ingat…umno difitnah oleh PKR dan DAP
    bukan PN, Tansri di pecat bukan melompat dalam
    Hal yang sama tiada kacang lupa kan kulit in fakta bukan auta sejujur nya sikap umno itu “ANKUH SOMBONG” rakyat lebih pandai menilai erti kejujuran

Comments are closed.