KUANTAN – Seorang warga emas meninggal dunia setelah motosikal yang ditungganginya hilang kawalan lalu terbabas dalam semak di Jalan Tanjung Lumpur, Kuantan malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ketika insiden mangsa bersendirian dalam perjalanan pulang ke Kempadang selepas bertemu dengan kawannya di pusat bandar.
Semasa kejadian, mangsa, Muhammad Firdaus Ching Abdullah, 62, seorang peniaga pasar borong menunggang motosikal dari arah Kuantan menghala ke rumahnya, kira-kira 8.30 malam.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa tiba-tiba telah hilang kawalan lalu terbabas ke dalam semak di bahu jalan sebelah kiri.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi tujuan bedah siasat.
Wan Zahari berkata, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. – MalaysiaGazette