Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din bergambar bersama barisan penyanyi pada Majlis Perasmian Lagu Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras. Foto AFFAN FAUZI, 04 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyarankan orang ramai memuat turun aplikasi Whoscall bagi mengelak diri daripada terdedah kepada jenayah dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, aplikasi yang merupakan kerjasama dengan Syarikat My Gogo and Look Sdn Bhd itu menjadi inisiatif membendung scammer.

“Mana-mana nombor yang digunakan scammer menerusi laporan mangsa telah kita kongsikan dengan Whoscall mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Ini bagi membantu mencegah isu scam apabila panggilan masuk itu akan terpapar di skrin telefon bimbit pengguna dengan tertera verified scammer selepas pengguna muat turun dan aktifkan Whoscall,” katanya selepas Majlis Pelancaran Lagu Anti-Scam, di sini, hari ini.

Datuk Mohd Kamarudin Md Din

Jelasnya, orang ramai dinasihat agar mematikan sahaja panggilan jika dihubungi nombor yang diklasifikasikan oleh Whoscall sebagai verified scammer kerana golongan tersebut bijak memanipulasi emosi sehingga boleh menjerat mangsa.

Dalam program sama, Kamarudin turut melancarkan sebuah lagu berjudul Be Smart Stay Alert sebagai mesej kesedaran kepada masyarakat agar menghindarkan diri daripada menjadi mangsa scammer.

Mengulas mengenai statistik kes jenayah komersil pada tahun lali, Kamarudin berkata, ia mencatatkan penurunan kepada 30,536 kes bagi Januari hingga Disember berbanding 31,490 kes untuk tempoh sama pada 2021.

Kamarudin berkata, penurunan sama turut direkodkan untuk kes penipuan dalam talian iaitu hanya mencatatkan 20,041 kes bagi tahun lalu berbanding 20,701 kes pada tahun 2021.

“Ini merupakan bukti kejayaan siri kempen berterusan yang dijalankan PDRM dan kita berjanji meneruskan didikan dan menyalurkan informasi bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang jenayah komersil khususnya dalam jenayah scam,” katanya. – MalaysiaGazette