Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah bercakap pada sidang media mengenai Belanjawan DBKL 2023 di Menara DBKL, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukan sebanyak RM2.6 bilion untuk Belanjawan 2023 yang bertemakan “Bandar Raya Mampan, Sejahtera Bersama.”

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, daripada jumlah itu RM1.96 bilion atau 75.3 peratus diperuntukkan untuk mengurus dan RM643.7 juta (24.7 peratus) bagi pembangunan ibu kota.

Ujarnya, ia merangkumi 14 program antaranya jalan raya dan saliran berjumlah RM404.3 juta, pengurusan dan pentadbiran (RM 394.9 juta) dan perumahan awam dan rakyat (RM252 juta) dan pembersihan bandar (RM223.5 juta).

“Secara keseluruhannya, belanjawan tersebut mengalami penurunan sebanyak 3.7 peratus berbanding Belanjawan tahun 2022 yang memperuntukkan sebanyak RM2.704 bilion.

“Kebajikan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur merupakan keutamaan DBKL. Setiap program yang kami jalankan sama ada untuk tujuan pembangunan fizikal, sosio-ekonomi, kawalan perancangan atau perkhidmatan perbandaran dilaksanakan demi kebaikan warga kota. Ini membawa kita kepada pembentangan Belanjawan DBKL untuk tahun 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pembentangan Belanjawan DBKL 2023 di ibu negara, hari ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah (dua kanan) bersama Pengarah Jabatan Kewangan DBKL, Mohamad Hamim (dua kiri) menunjukkan buku Belanjawan DBKL 2023 pada sidang media di Menara DBKL, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 JANUARI 2023.

Menerusi belanjawan itu, Mahadi berkata, sebanyak RM7 juta diperuntukan sebagai dana mengurus dan membangun perubahan iklim bagi kajian pelaksanaan penggunaan infrustruktur hijau iaitu sistem district cooling (DCS).

“Perubahan iklim atau climate change adalah antara isu utama yang dihadapi dunia pada masa kini. Perubahan iklim merupakan fenomena yang nyata dan sudah terbukti dari segi saintifik. Malah, perubahan iklim sudah pun mula menjejaskan kehidupan kita semua,” ujarnya.

Selain itu, belanjawan tersebut juga menyediakan sebanyak RM28.4 juta untuk melaksanakan projek mempertingkatkan sistem saliran dan perparitan, projek kolam takungan banjir, projek mitigasi banjir dan projek tebatan banjir.

“Bagi memastikan perancangan dan kesiapsiagaan Kuala Lumpur dalam menghadapi banjir kilat, DBKL memerlukan dana lebih besar bagi melaksanakan projek mitigasi banjir dan kami sedang memohon peruntukan tersebut daripada Kerajaan Persekutuan (sekitar RM500 juta),” jelasnya.

Bagi memastikan Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) seliaan DBKL lebih selesa, Mahadi berkata, belanjawan itu turut memperuntukkan sejumlah RM252 juta.

“Ia meliputi kerja penyelenggaran bayaran kontrak pembersihan, sewaan CCTV, bayaran bil-bil utiliti untuk kawasan gunasama, pelaksanaan penggantian dan taraf lift, sistem elektrik dan pam serta tangki air, bumbung dan paip utama,” katanya.

Manakala untuk mempromosi produk pelancongan Kuala Lumpur dan melaksanakan program Accessible Mayor Award untuk penggiat industri pelancongan, pihaknya menyediakan bajet sebanyak RM2.9 juta.

“DBKL juga bercadang untuk menubuhkan Majlis Pelancongan pada peringkat DBKL dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan penggiat industri pelancongan di Kuala Lumpur bagi merancang serta melaksanakan inisiatif bagi memajukan sektor pelancongan” ujarnya. – MalaysiaGazette