MELAKA – Sebarang tindakan disiplin terhadap jurulatih pasukan bola tampar Melaka B-14 (Wanita), Saiful Hadee Amar bergantung kepada keputusan Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) dan Kementerian Pendidikan (KPM) sebaik selesai siasatan.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP. Shanmugam berkata, pada peringkat Majlis Sukan Negara (MSN) negeri, pihaknya telah memberikan tiga syor termasuk permohonan maaf secara terbuka oleh jurulatih berkenaan.
“Selebihnya, terpulang kepada KPM dan MAVA untuk mengambil tindakan lanjut kerana di peringkat negeri, kita terpaksa memberikan tiga syor kepada pihak berkenaan berhubung kes ini yang sudah mendapat liputan meluas seluruh negara.
“Antaranya jurulatih ini perlu meminta maaf kepada umum dan ibu bapa serta kedua mungkin sijil latihan beliau perlu ditahan untuk tempoh setahun atau dua tahun,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung isu berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Hean Boon Yeow dan Pengarah MSN negeri, Asri Ninggal.
Hadir sama jurulatih pasukan bola tampar Melaka B-14 (Wanita), Saiful Hadee Amar dan dua dua ibu bapa pelajar berkenaan
Shanmugam berkata demikian mengulas penularan video memaparkan tindakan jurulatih berkenaan menampar dua pemain remaja perempuan selepas pertandingan Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor pada 16 Disember lalu.
Insiden itu kemudian telah mendapat perhatian beberapa pihak antaranya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menyelar tindakan berkenaan manakala Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula sedang mendapatkan butiran lanjut kerana membabitkan pelajar bawah umur.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan dua ibu bapa remaja berkenaan turut meminta masyarakat agar tidak mengecam tindakan jurulatih terbabit malah sudah memaafkannya atas keterlanjurannya dalam melatih anak-anak mereka.
Mengulas lanjut, Shanmugam berkata, meskipun permohonan maaf sudah dibuat, sebarang bentuk tindakan ekoran isu berkenaan perlu diperhalusi kerana mendapat perhatian pelbagai pihak.
“Kedudukan jurulatih kini terbahagi kepada tiga iaitu siasatan pihak kerajaan negeri, Unit Integriti KPM kerana beliau adalah guru sekolah selain MAVA memandangkan kes ini turut melibatkan peringkat kebangsaan.
“Maknanya, apa-apa tindakan diambil terhadap beliau hanya akan diputuskan oleh KPM dan MAVA,” katanya. – MalaysiaGazette