Semua penjaja dan pengusaha restoran perlu memakai pelitup muka ketika mengendalikan makanan.

KUALA LUMPUR – Semua penjaja dan pengusaha restoran dalam kawasan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) diarah memakai pelitup muka sepanjang mengendalikan makanan.

Arahan itu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kes penularan wabak Covid-19 mula dilaporkan di beberapa negara terutama China.

Menurut Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Hamid Hussain, pihaknya memberi tempoh sebulan kepada penjaja dan pengusaha restoran untuk mempraktikkan pemakaian pelitup muka semasa mengendali makanan.

Katanya, arahan itu telah diputuskan kerajaan negeri dalam memastikan tahap kebersihan peniaga dan orang ramai terjaga.

“Sebelum memulakan pemakaian pelitup muka, kita akan turun memberi nasihat terlebih dahulu kepada peniaga dalam tempoh sebulan ini. Jika gagal mematuhinya, tindakan bersesuaian akan dikenakan mengikut undang-undang sedia ada.

“Pemantauan akan dibuat beberapa jabatan iaitu Bahagian Perlesenan, Penguatkuasa dan Kesihatan. Kita harap pemilik premis mematuhinya kerana ia dimasukkan dalam syarat lesen,” katanya pada Majlis Pengakuan Menerima Jawatan sebagai Ahli Majlis MPSepang hari ini.

Khamis minggu lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, penggunaan pelitup muka diwajibkan kepada penjaja dan pengusaha restoran di negeri itu mulai 1 Januari lalu bagi meningkatkan tahap kebersihan dalam pengendalian makanan.

Katanya, pendekatan itu juga dapat menambah keyakinan pelanggan, selain mengelakkan penularan Covid-19 dan isu keracunan makanan. – MalaysiaGazette