piala aff
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) bersama timbalannya, Adam Adli Abd Halim (tiga kiri) ketika mengadakan lawatan ke Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang berbincang dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berhubung isu pengurangan 21,000 tiket perlawanan aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Sabtu ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau telah diberi taklimat mengenai masalah yang berlaku ekoran pertembungan aksi Piala AFF dan konsert artis terkenal Taiwan, Jay Chou.

“Kita masih dalam proses perbincangan itu sahaja yang saya boleh cakap setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman dalam satu kenyataan memaklumkan, hanya 59,000 keping tiket yang akan dijual bagi perlawanan antara Harimau Malaya dan Thailand itu

Menurut beliau, sebanyak 21,000 tempat duduk terpaksa ‘dikosongkan’ kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan menjelang persembahan pada 15 Januari ini.

Hannah menambah, pihaknya telah berusaha sebaik mungkin untuk menaikkan semangat penyokong sukan tempatan.

Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai tindakan netizen mengecam Jay Chou berhubung isu pengurangan tiket itu.

Berhubung kemungkinan harga tiket menjadi lebih mahal, Hannah berkata, KBS telah berusaha agar FAM menurunkan harga tiket dan mereka telah menetapkannya pada harga RM30 setakat ini. – MalaysiaGazette