Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di ketika di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 05 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menerajui penjajaran semula fungsi pengurusan pekerja asing di Malaysia sebagai pengendali utama.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagaimanapun Kementerian Sumber Manusia akan terus memperkukuhkan daripada aspek keakuran kepada dasar perburuhan, penentuan kelayakan kuota dan pemuktamadan kerjasama dengan negara sumber.

“Para pemegang taruh seperti majikan, industri, persatuan serta pekerja asing tidak perlu khuatir akan perubahan dasar ini yang dijangka akan bermula pada 15 Januari 2023.

“Hal ini kerana penjajaran fungsi ini tidak akan menjejaskan tatacara dan carta alir permohonan penggajian pekerja asing sedia ada memandangkan fokus kepada penjajaran adalah kepada tatakelola atau governance pengurusan pekerja asing,” katanya, hari ini

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bersama Antara KDN dan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar Mengenai Pengurusan Pekerja Asing.

Menurut Saifuddin, sebanyak tiga kertas pembentangan dipersetujui dalam mesyuarat tersebut.

Tambah beliau, mesyuarat itu dilaksanakan susulan keputusan Jemaah Menteri pada 7 dan 21 Disember lalu untuk menjajarkan semula peranan pengurusan pekerja asing dan mempertimbangkan kelonggaran bagi penggajian pekerja asing untuk memacu ekonomi negara.

Tambah beliau, mesyuarat sama turut bersetuju dengan cadangan kertas pembentangan kedua iaitu kelonggaran syarat dan prosedur permohonan kuota pekerja asing kepada tahap yang paling optimum bagi mengimbangkan antara keperluan pembangunan ekonomi dengan keselamatan negara.

Antara lain, katanya, kelonggaran itu akan merangkumi usaha berterusan untuk memudah cara penilaian kelayakan untuk menggaji pekerja asing, penelitian terhadap syarat-syarat kelulusan kuota dan proses keimigresenan dan tapisan keselamatan.

“Perincian terhadap perkara ini akan dimaklumkan kepada semua pemegang taruh dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Menurut Saifuddin, kertas ketiga mengambil maklum pembentangan wakil Kementerian Ekonomi tentang unjuran keperluan guna tenaga asing di Malaysia.

Sementara itu, beliau memberitahu, sehingga 31 Disember 2022 terdapat 1,459,196 pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Sektor perkilangan mencatatkan jumlah pekerja asing paling tinggi iaitu 538,148 orang diikuti sektor pembinaan (315,932 orang) dan perkhidmatan (221,621 orang).

“Jumlah ini turut merangkumi 316,446 orang pekerja asing baharu yang digajikan pada tahun 2022. Tiga warganegara tertinggi pekerja asing di Malaysia adalah Bangladesh, Indonesia dan Nepal.

“Manakala bagi tahun 2022 sahaja, kerajaan telah meluluskan sebanyak 676,070 kuota pekerja asing daripada 1,606,724 permohonan dan daripada jumlah kelulusan tersebut, sebanyak 635,234 kuota telah dibayar levi.

“Daripada jumlah kuota yang telah selesai pembayaran levi, bilangan kuota yang telah memohon Visa Dengan Rujukan (VDR) adalah sebanyak 463,255 dan jumlah yang diluluskan adalah 452,963 orang,” kata beliau. – MalaysiaGazette