(Dua dari kiri) Pengarah urusan REISB Izuan Hafiz, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pemangku Pengarah Urusan Cyeberview Dr. Mohd Hafiz Ibrahim.

CYBERJAYA – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sudah membentangkan laporan awal mengenai tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor kepada Kabinet semalam.

Menteri Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, laporan awal tersebut disediakan oleh Jabatan Mineral dan Goesains (JMG) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

“Semalam Perdana Menteri telah lihat laporan awal sebelum laporan penuh disiapkan.

“Sebab di peringkat awal fokus adalah kepada misi mencari dan menyelamat (SAR). Jadi bila sudah selesai dan jumpa mayat baru pergi kepada melihat punca kejadian dan perkara teknikal,” katanya.

Nik Nazmi berkata, Kebinet tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap laporan awal berkenaan kerana menunggu laporan penuh dibentangkan.

Menurutnya, laporan lengkap mengenai kejadian itu akan disiapkan dalam masa terdekat.

“Tak ada maklum balas dari Kabinet kerana ia laporan awal jadi kita tengah tunggu laporan penuh sebelum ada tindakan lain,” jelas beliau.

Nik Nazmi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Cyberview Sdn. Bhd. (Cyberview) dan Roda Emas Industries Sdn. Bhd. (REISB) di sini hari ini.

MoU tersebut berkaitan kerjasama mengenai pembangunan ekosistem mobiliti pintar di Cyberjaya yang akan memberi tumpuan kepada infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan Hab Gaya Hidup EV GO TO-U.

Turut hadir Pemangku Pengarah Urusan Cyeberview Dr. Mohd Hafiz Ibrahim dan Pengarah Urusan REISB Izuan Hafiz.

Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember lepas merupakan kejadian kedua terbesar melibatkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa.

Tragedi yang berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi itu membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak, dengan 20 mayat ditemukan di sektor A, satu sektor B dan 10 lagi di sektor C di kawasan perkhemahan tersebut.

Mayat mangsa terakhir yang berusia 11 tahun ditemui selepas sembilan hari tragedi itu berlaku.-MalaysiaGazette