Mohamad Izwan Mahmood (kiri) bersama kekasihnya didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat kerana membunuh seorang kanak-kanak lelaki di Felda Semenchu, Teluk Sengat, Kota Tinggi, pada 23 Disember lalu.

BATU PAHAT –  Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret, pagi ini, atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki di Felda Semenchu, Teluk Sengat, Kota Tinggi, pada 23 Disember lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat.

Mohamad Izwan Mahmood, 25, bersama pasangannya yang merupakan remaja perempuan berusia 16 tahun, didakwa dengan niat bersama membunuh seorang kanak-kanak lelaki.

Kedua-dua tertuduh yang merupakan penganggur, didakwa melakukan perbuatan tersebut di Felda Semenchu, Teluk Sengat, Kota Tinggi pada 23 Disember 2022, antara jam 8 pagi hingga 2 petang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca dengan Seksyen 34 akta yang sama yang membawa kepada hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos.

Manakala kedua-dua tertuduh, yang merupakan rakan kepada kakak mangsa, tidak diwakili peguam.

Majistret kemudian menetapkan 22 Februari ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan bedah siasat.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, di sini pula,  kakak kepada kanak-kanak itu, Nurul Natasha Danial @ Zainal didakwa menganiaya adik lelakinya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di Senggarang, Batu Pahat, dua bulan lepas.

Surirumah yang berusia 19 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Tertuduh merupakan orang yang dipertanggungjawabkan menjaga kanak-kanak itu, didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jalan Kampung Sri Pantai, Senggarang antara pukul 10 pagi sehingga 10 malam, antara November 2022 sehingga Disember tahun lepas.

Perbuatan tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanakmembawa hukuman denda maksima RM25,000 atau dipenjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hayatul Wirdah bagaimanapun memohon mahkamah memberikan satu tarikh untuk peguam tertuduh, Tan Song Yan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan mengemukakan permohonan jamin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Januari ini bagi Mahkamah Sesyen mendengar permohonan jamin dan 26 Januari untuk sebutan semula dan serahan dokumen.

Pada 26 Disember lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, selepas tiga hari dimasukkan ke hospital berkenaan, dipercayai didera oleh kakak dan rakan kakaknya.- MalaysiaGazette

Kanak-kanak maut ada kesan pukulan, cucuh – Polis