KUALA LUMPUR – Syarikat Energy Absolute (EA) dari Thailand yang mempunyai kekuatan modal pasaran sebanyak 380 bilion baht (RM45 bilion) berminat untuk meneroka pasaran Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, EA merupakan syarikat terkemuka dalam industri teknologi hijau di Thailand dan peneraju tenaga boleh diperbaharui di negara itu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, hasrat syarikat berkenaan adalah berlandaskan prinsip-prinsip seperti mendukung, melabur dan mengangkat projek pemicu.
“Mereka akan berkolaborasi dengan Computer Forms Malaysia Berhad (CFM) untuk membangunkan industri teknologi hijau di Malaysia, pemindahan teknologi kenderaan elektrik (EV) ke Malaysia, membina kilang pembuatan dan bekalan EV.
“Khususnya dalam sektor pengangkutan seperti bas elektrik, bas sekolah elektrik, bot elektrik, motosikal elektrik, bateri EV, kereta api elektrik, kereta mobil elektrik dan lain-lain dengan nilai RM5 bilion,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Anwar mengulas tentang kunjungan delegasi dari Thailand diketuai oleh Somphote Ahunai yang mewakili Energy Absolute Malaysia Sdn. Bhd.
Beliau turut menyifatkan Somphote sebagai ‘Elon Musk Thailand’.
Sementara itu, Anwar berkata, sebagai anggota Komuniti Ekonomi ASEAN, dengan budaya dan warisan yang hampir sama, kerjasama antara Malaysia dan Thailand terus kukuh dengan semangat kejiranan yang tinggi dengan kerjasama di pelbagai lapangan yang relevan. – MalaysiaGazette