Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 di KKDW, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mampu menyelesaikan pembinaan rumah mangsa banjir Baling, Kedah.

Timbalan Perdana Menteri itu dalam nada sinis berkata, kerajaan negeri pimpinan Sanusi itu harus mengambil tanggungjawab untuk membantu rakyat negeri itu.

“Saya yakin Mohammad Sanusi mampu melakukannya sebagaimana beliau mampu bercakap dalam pentas-pentas politik tanah air.

“Keputusan pilihan raya yang lalu memperlihatkan mereka telah mendapat kejayaan 100 peratus untuk kerusi Parlimen, jadi mereka harus menterjemahkan sokongan dengan memberi bantuan kepada rakyat,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah, hari ini.

Bagaimanapun, ujar Ahmad Zahid, kementerian pimpinannya itu sudah menyiapkan projek baikpulih 34 unit rumah mangsa banjir oleh agensi di bawah kementeriannya, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Malah lapan unit rumah baharu telah diserahkan kepada pemilik pada Disember lalu.

Pada Julai lalu, sebanyak 13 buah perkampungan dan perumahan yang melibatkan 74 unit rumah dikenal pasti terjejas akibat banjir kali ketiga di Mukim Kupang dan berhampiran Pekan Baling.

Antara kawasan terlibat ialah Kampung Iboi, Kampung Bendang Bechah, Kampung Hangus, Kampung Bendang Padang, Kampung Tok Saba, Kampung Masjid Iboi, Kampung Lata Chelak dan Kampung Tanjung Nering.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, satu koordinasi antara Jawatankuasa Bencana Pusat dan kementerian serta agensi diadakan bagi mencari jalan penyelesaian menyeluruh untuk mengatasi masalah Monsun Timur Laut dan Barat Daya.

“Setiap kali musim banjir ada rumah rosak kita baiki, ada rumah hanyut kita bina baru, jalan rosak kita buat dan berlaku lagi.

“Kita mesti cari jalan penyelesaian menyeluruh dan jangka panjang,” katanya. – MalaysiaGazette