kebangkitan islamofobia
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Gelombang kebangkitan anak muda Melayu Islam dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) baru-baru ini merupakan salah satu faktor yang memenangkan Perikatan Nasional (PN).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, partinya secara khusus amat merasai kebenaran al-Quran, apabila anak muda yang dianggap mentah itu telah mencetuskan kemenangan kepada suara Islam.

Menurut beliau, mereka menolak segala habuan kebendaan serta slogan kuat menipu kononnya menentang rasuah dan salah laku dengan propaganda yang hebat.

“Ketika itu, dipaparkan sokongan para profesor dan ilmuwan yang nyata berilmu tetapi kecil akalnya, semata-mata bagi menggoda anak muda.

“Selain itu, turut digunakan segala media sosial yang canggih tanpa sempadan dan banyak ditaburkan janji bohong yang lama tidak ditunaikan lagi dan janji yang baharu tidak tertunai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, semua tawaran tersebut ditolak oleh anak muda yang ditipu pada PRU-14,  sekali gus menolak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-15.

Beliau memberitahu, keadaan itu menyebabkan pencapaian kerusi PH bergantung kepada undi bukan Islam, manakala BN pula bergantung kepada warga tua di saluran satu yang terlebih makan garamnya.

“Perkara yang paling penting apabila anak muda mendapat petunjuk Allah SWT untuk menunaikan kewajipan mengundi yang menjadi jihad fardu ain, bukan lagi fardu kifayah kerana Islam dan umatnya diancam.

“Adapun kalangan mereka yang tua pula tidak menunaikan kewajipan yang besar ini kerana merasakan ia tidak penting, disebabkan jahil murakkab setelah dikatakan negara ini sudah merdeka lebih setengah abad,” jelasnya.

Abdul Hadi berkata, walaupun anak muda telah dikecewakan, beliau berharap mereka tidak berputus asa dan menyerah kalah kerana ujian Allah SWT adalah untuk melakukan suatu perubahan yang terbaik di bawah kuasa-Nya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. ALLAHUAKBAR…..ALHAMDULILLAH

    “Perkara yang paling penting apabila anak muda mendapat petunjuk Allah SWT untuk menunaikan kewajipan mengundi yang menjadi jihad fardu ain, bukan lagi fardu kifayah kerana Islam dan umatnya diancam.

Comments are closed.